My Add

Tuesday 12 March 2013

Penarafan kolej komuniti

KUCHING, 12 Mac, 2013: Kementerian Pengajian Tinggi akan melaksanakan proses penarafan bintang untuk kesemua 84 kolej komuniti di seluruh negara mulai pertengahan tahun ini.

Menterinya, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, berkata instrumen untuk melaksanakan proses itu sedang dibangunkan yang bertujuan untuk menentukan tahap penyampaian dan perkhidmatan yang diberikan oleh setiap kolej berkenaan.

Bercakap pada sidang akhbar selepas merasmikan pelancaran program Pemerkasaan Kolej Komuniti dan Karnival Pembelajaran Sepanjang Hayat peringkat Zon Sarawak di sini hari ini, beliau berkata penarafan itu akan menjadi panduan untuk memperbaiki lagi sebarang kelemahan yang dikenal pasti dalam operasi kolej-kolej berkenaan.

"Proses penarafan ini adalah sebahagian daripada usaha di bawah Fasa Pemerkasaan Kolej Komuniti yang berlangsung selama dua tahun bermula tahun ini.

"(Di bawah proses ini) kita menekankan dari segi output sesebuah kolej komuniti itu, sejauh mana masyarakat benar-benar mendapat manfaat," katanya. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment