My Add

Sunday 10 March 2013

Pencerobohan: Lagi bantahan terhadap Tian Chua

KUALA LUMPUR SABTU, 09 Mac, 2013: Lagi bantahan dan laporan polis dibuat terhadap Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat, Tian Chua berhubung kenyataannya yang mendakwa insiden pencerobohan pengganas Sulu di Lahad Datu, Sabah sebagai sandiwara Umno.

Di Ibu Pejabat Polis Daerah Ampang Jaya di sini hari ini, bekas anggota komando membuat laporan polis pada kira-kira 10.15 pagi terhadap pemimpin PKR itu .

Kira-kira 30 bekas anggota komando turut mengadakan demonstrasi secara aman di hadapan ibu pejabat polis itu bagi mengutuk kenyataan pemimpin PKR itu yang menurut mereka amat menyinggung perasaan anggota pasukan keselamatan sama ada yang masih bertugas mahupun sudah bersara.

Wakil mereka, Mokhtar Yunus, 59, berkata, Tian Chua tidak harus bermain politik dalam isu ini kerana lapan anggota polis yang terkorban dalam insiden itu bukan sesuatu perkara yang harus dipermainkan.

Seorang daripada bekas komando, Halim Mohamad Zain, 48 berkata, laporan itu dibuat supaya pihak polis dapat menyiasat dan mengambil tindakan tegas terhadap Tian Chua berhubung kenyataan yang disifatkannya sebagai fitnah dan hasutan yang boleh menggugat keselamatan negara.

Di SEMPORNA, Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Shafie Apdal berkata, tindakan tegas perlu diambil terhadap Tian Chua sebagai pengajaran kepada orang lain supaya jangan mengeluarkan kenyaan fitnah tanpa mengambil kira sensitiviti dan persaan ramai pihak yang terlibat dalam insiden itu.

"Saya berpandangan bahawa tindakan tegas perlu diambil kerana dia telah mengeluarkan kenyataan yang cukup berbahaya," katanya kepada pemberita selepas menghadiri program bersama pengundi muda dan golongan muda anjuran Pemuda dan Puteri UMNO Bahagian Semporna.

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah itu berkata, sekiranya tindakan tegas tidak diambil ada kemungkinan pemimpin PKR itu akan membuat fitnah lebih teruk yang dikhuatiri boleh mengancam ketenteraman awam.

Sementara itu, Shafie meminta semua pihak supaya tidak membuat tanggapan secara umum mengenai kaum Suluk kerana tidak semua etnik berkenaan jahat dan terlibat dengan aktiviti keganasan seperti yang berlaku di Lahad Datu.

Di KULIM, MIC Negeri Kedah menyifatkan Tian Chua sebgai seorang pemimpin politik yang "bermuka tembok" dan tidak bermaruah selain pengecut.

Pengerusi Perhubungan MIC Negeri Kedah, S. Ananthan berkata, pada mulanya Ahli Parlimen Batu itu menuduh musibah yang berlaku di Lahad Datu merupakan satu konspirasi UMNO yang mahu menakut-nakutkan rakyat untuk memenangi pilihan raya umum akan datang.

"Tetapi apabila pelbagai pihak telah mengutuk dan melahirkan kebencian kepada dakwaannya itu, kini Tian Chua telah berdalih dengan menyebut bahawa lidah rasmi PKR itu yang menjadikannya mangsa sekali gus menafikan beliau membuat dakwaan itu," katanya selepas menyampaikan cek pinjaman Tabung Ekonomi Kebangsaan Nasional (Tekun) kepada peniaga kecil.

Ananthan berkata, sikap muka tembok yang sering diamalkan pemimpin parti pembangkang itu jelas mempamerkan betapa tidak konsistennya pendirian mereka bila cuba mendapatkan keuntungkan politik daripada sesuatu isu. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment