My Add

Tuesday 5 March 2013

Pencerobohan Lahad Datu: 11 sekolah ditutup

KUALA LUMPUR, ISNIN, 04 Mac, 2013: Sebelas sekolah di Lahad Datu, Sabah ditutup sementara sehingga Rabu ini sejak Jumaat lalu berikutan insiden pencerobohan kumpulan bersenjata di kawasan itu, kata Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Abdul Ghafar Mahmud.

Arahan penutupan sementara itu dikeluarkan melalui surat bertarikh 1 Mac, katanya.

"Sekolah akan ditutup sehingga Rabu ini, sekiranya keadaan tidak reda, tempoh penutupan itu mungkin dilanjutkan mengikut keperluan sekolah," katanya hari ini.

Jabatan Pelajaran Sabah dan polis akan memantau perkembangan semasa di kawasan berkenaan sebelum memutuskan keperluan melanjutkan tempoh penutupan itu, katanya.

Abdul Ghafar berkata, meskipun tiada desakan daripada ibu bapa untuk menutup sekolah terbabit namun Kementerian Pelajaran mengambil inisiatif itu sebagai langkah berjaga-jaga.

"Perancangan untuk memindahkan kesemua pelajar terbabit ke sekolah berdekatan juga tidak perlu, apabila situasi sudah reda semua pelajar akan kembali ke sekolah seperti biasa," katanya.

Abdul Ghafar berkata, cuti gantian perlu dilaksanakan selepas keadaan kembali pulih.
Timbalan Pengarah Jabatan Pelajaran Sabah, Maimunah Suhaibul ketika dihubungi mengesahkan menerima surat daripada Kementerian Pelajaran pada 1 Mac lalu yang mengarahkannya menutup sekolah terbabit.

"Kita segera kenal pasti sekolah supaya arahan itu dapat dilaksanakan," katanya.

Antara sekolah yang kini ditutup sementara ialah Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Chee Vun, Sekolah Kebangsaan Tungku dan Sekolah Kebangsaan Lahad Datu II.

Insiden pencerobohan kumpulan bersenjata di Sabah yang dilaporkan sejak 12 Februari kini mengorbankan lapan anggota keselamatan negara; dua di Lahad Datu dan enam di Semporna. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment