My Add

Thursday 21 March 2013

Pendakwah perlu kaji semula keadaan Islam masa kini

Oleh MOHD. HAZLI HASSAN
KUALA LUMPUR, KHAMIS, 21 Mac, 2013: Para pendakwah diminta untuk melakukan kajian semula terhadap keadaan umat Islam di dunia pada masa kini yang semakin ditindas.

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr, Mahathir Mohamad berkata, pada masa ini, umat Islam walaupun merupakan kelompok terbesar di dunia, namun amat mudah dipermainkan dan dihina.

Kata beliau, ia semakin buruk sehinggakan mereka dengan mudah mempermainkan Islam itu sendiri, termasuk Allah dan Nabi Muhamad SAW.

"Umat Islam sehingga kini ada 1.6 bilion di seluruh dunia, malah lebih ramai daripada penganut Katolik yang mempunyai 1.2 bilion pengikut.

"Namun kita tidak mampu melakukan apa-apa walaupun mereka menghina dan mengeluarkan kata-kata yang kesat terhadap Allah, Islam dan Nabi Muhammad," tegas beliau.

Beliau berkata demikian semasa menyampaikan ucapan sempena Bual Bicara Dakwah bersama Tun Dr. Mahathir Mohamad anjuran Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim) di Dewan Perdana Felda di sini hari ini.

Seramai 500 pendakwah Perkim hadir pada majlis bual bicara berkenaan.

Dr. Mahathir turut berkata, umat Islam kini tidak boleh menyalahkan orang lain dan perlu tanya kepada diri sendiri kenapa umat ini semakin ditindas.

"Saya fikir banyak kesalahan yang dilakukan oleh kita bukan berpunca dari Islam itu sendiri tetapi disebabkan kita hanya menggunakan agama Islam itu sebagai identiti sahaja dan tidak mengamalkan ajaran Islam yang sebenar," tegas Dr. Mahathir.

Kata beliau, kita perlu kembali kepada ajaran Al-Quran dan hadis dan tidak boleh hanya berpandukan kepada pendidikan yang disampaikan oleh guru-guru agama semata-mata. – UTUSAN

No comments:

Post a Comment