My Add

Sunday 10 March 2013

Pengganas Sulu terperangkap

 
Oleh ABDUL RASHID ABDUL RAHMAN
LAHAD DATU, SABTU, 09 Mac, 2013: Pengganas Sulu kini semakin terdesak dan terpaksa bergerak dalam kumpulan kecil setelah terperangkap dalam kepungan pasukan keselamatan di Kampung Tanduo dan Kampung Tanjung Batu di sini.

Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Zulkifeli Mohd. Zin berkata, berdasarkan situasi semasa pihaknya yakin kumpulan itu tiada pilihan selain cuba memasuki kawasan Kampung Tanduo.

"Mereka tidak mungkin akan dapat melepasi kepungan, cuma mereka akan keluar dari Kampung Tanjung Batu dan kembali ke Kampung Tanduo.

"Pada masa ini keutamaan adalah bagi menggeledah dan membersihkan Kampung Tanduo dan apabila selesai kita akan menggempur Kampung Tanjung Batu," katanya dalam sidang akhbar bersama Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar di sini hari ini.

Menurut Zulkifeli, keutamaan pada masa ini adalah menggeledah dan membersih kawasan Kampung Tanduo yang dipercayai masih terdapat saki-baki kumpulan pengganas yang bersembunyi dalam kawasan hutan.

Beliau berkata, kawasan kepungan di kedua-dua kampung berkenaan juga telah dikecilkan, masing-masing kepada kurang daripada empat kilometer persegi.

"Mereka ini amat licik dan mahir laluan antara Kampung Tanduo dan Kampung Tanjung Batu yang mempunyai banyak kawasan paya," katanya.

Ditanya sama ada akan menggunakan serangan udara, beliau tidak menolak kemungkinan itu sekiranya perlu.

Sementara itu, Ismail memberitahu, seorang lagi penceroboh militan Sulu maut ditembak pada pukul 8 pagi tadi di Kampung Tanjung Batu menjadikan jumlah keseluruhan kematian 53 orang.

Menurut beliau, penceroboh itu ditembak mati pasukan keselamatan selepas bertindak keluar daripada kepungan pihak berkuasa seorang diri.

Dalam sidang akhbar petang ini, Ismail memaklumkan pasukan keselamatan menahan sebanyak 27 lagi individu mencurigakan yang dipercayai ada kaitan dengan pengganas berhampiran Pantai Tanjung Batu di Tanjung Labian hari ini.

Tangkapan kira-kira pukul 10 pagi itu menjadikan jumlah keseluruhan suspek yang ditahan setakat ini mencecah 106 orang.

Menurut Ismail, kesemua suspek memberikan alasan keluar untuk menangkap ikan ditahan di dalam tiga buah bot.

"Saya mengingatkan bahawa kita tidak mahu sesiapa pun memasuki kawasan operasi kerana akan menjejaskan operasi selain membahayakan mereka," tegas beliau sambil menafikan laporan media asing konon terdapat anggota keselamatan negara ditawan kumpulan pengganas. - UTUSAM

No comments:

Post a Comment