My Add

Thursday 7 March 2013

Pengganas Sulu tukar strategi

 *ANGKATAN Tentera Malaysia bersiap sedia melancarkan bom ke arah kawasan
 yang dipercayai pengganas Sulu masih bersembunyi di Kampung Tanduo, Lahad
 Datu, semalam.

LAHAD DATU, RABU, 06 Mac, 2013: Kes pencerobohan pengganas Sulu di Kampung Tanduo yang berlanjutan hampir tiga minggu bertambah rumit apabila pengganas kini menukar strategi dengan menyamar sebagai penduduk kampung.

Taktik yang digunakan itu menyulitkan pihak keselamatan memandangkan kawasan Felda Sahabat di sini, bukan sahaja amat luas tetapi mempunyai ramai penduduk berketurunan Suluk sekali gus menyukarkan proses pengecaman.

Malah, kumpulan pengganas itu juga dikatakan mempunyai sanak-saudara di kawasan kampung selain terdapat dalam kalangan mereka turut mendapat taraf penduduk tetap.

Sehubungan itu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar meminta masyarakat di kawasan terbabit sentiasa berhati-hati bagi mengelak sebarang perkara tidak diingini dalam situasi ketika ini.

"Saya ingatkan supaya menjauhi kawasan operasi dan sekiranya hendak bergerak ke mana-mana, periksa dengan ibu pejabat polis untuk mendapatkan nasihat," katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Yang turut hadir, Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Zulkifeli Mohd. Zin dan Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Hamza Taib.

Gugusan Felda Sahabat mempunyai sebanyak 12 buah kampung dengan jumlah penduduk kira-kira 10,000 orang yang majoritinya berbangsa Suluk tidak termasuk peneroka Felda.

Kawasan berkenaan berkeluasan kira-kira 40,000 hektar manakala kawasan kampung berdekatan pula seluas kira-kira 10,000 hektar dengan kebanyakan penduduk bekerja sebagai nelayan dan petani.

Dalam masa sama, Ismail berharap penduduk tidak panik kerana pihak keselamatan telah meningkatkan kawalan di kawasan terbabit. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment