My Add

Tuesday 12 March 2013

Pengumuman PM sempena MAPPA XIII tiada kaitan politik

Oleh NORLIZA ABD. RAHMAN dan NAZMIL NASIRUDDIN
PUTRAJAYA, ISNIN, 11 Mac, 2013: Pelbagai berita baik yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak kepada kakitangan kerajaan sempena Majlis Perdana Perkhidmatan Awam Ke-13 (MAPPA XIII) tiada kaitan dengan Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13).

Ketua Setiausaha Negara, Datuk Seri Dr. Ali Hamsa berkata, tanggapan bahawa MAPPA mempunyai kaitan dengan 'buah tangan' PRU-13 hanya dicetuskan oleh mereka yang gemar melihat sesuatu daripada aspek negatif.

"MAPPA adalah satu amalan tahunan yang diadakan dalam perkhidmatan awam dan memang termasuk dalam jadual kita.

"Dalam MAPPA ini, kita umum segala pelarasan dan penambahbaikan dari segi perkhidmatan," katanya dalam sidang akhbar selepas majlis tahunan itu di sini hari ini.

Beliau mengulas mengenai tanggapan negatif bahawa pengumuman yang disampaikan Perdana Menteri itu merupakan 'buah tangan' untuk PRU-13 nanti.

Sementara itu, Ali berkata, pihaknya juga sedang mengkaji semua 87 elaun yang akan diberi keutamaan untuk penambahbaikan termasuk skim elaun sara hidup (COLA) kepada penjawat awam.

"Pada hujung November atau Disember nanti akan dapat kita umumkan mengenai perkara-perkara ini," katanya.

Pada masa sama, beliau berkata, cadangan akan dikemukakan kepada kerajaan agar mengadakan skim perumahan khas kepada penjawat awam.

"Antaranya dengan menggabungkan skim perumahan itu dengan Projek Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) dan menambah kuarters kerajaan di tempat yang diperlukan," tambahnya.

Jelas beliau, pada masa kini, ramai penjawat awam terutama pegawai muda yang berhasrat mempunyai rumah di bandar-bandar besar namun tidak kesampaian disebabkan harga yang kian meningkat.

Terdahulu, Ali dalam ucapannya berkata, penjawat awam kini tidak boleh lagi beranggapan mereka berada dalam zon selesa kerana keadaan itu tidak akan membawa kepada prestasi cemerlang.

Sehubungan itu, katanya, penjawat awam perlu mempamerkan sikap tegas, berani, adil dan sanggup mengambil risiko untuk meneraju sesuatu jabatan ke tahap prestasi lebih tinggi. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment