My Add

Saturday 9 March 2013

Pengurusan kes saman fitnah terhadap Mat Sabu ditetapkan 20 Mac

SHAH ALAM, JUMAAT, O8 Mac, 2013: Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menetapkan 20 Mac ini sebagai tarikh pengurusan kes saman fitnah oleh Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Datuk Wan Ahmad Wan Omar terhadap Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu.

Peguam Abu Bakar Isa Ramat yang mewakili Wan Ahmad berkata saman itu ekoran kenyataan fitnah oleh Mohamad Sabu atau Mat Sabu dalam akhbar Harakah edisi 1-3 Februari 2013 yang bertajuk 'Wan Ahmad Tak Boleh Dipercayai'.

"Saman juga difailkan terhadap empat defendan iaitu Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali; pencetak akhbar Harakah, Angkatan Edaran Enterprise Sdn Bhd; Ketua Pengarang Harakah, Ahmad Lutfi Othman dan penulis artikel, Aziz Muda.

"Kes tersebut akan didengar di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Lee Heng Cheong," katanya pada sidang media di kediaman Wan Ahmad, di sini, hari ini.

Katanya writ saman dan pernyataan tuntutan itu difailkan di pejabat pendaftar Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 5 Mac lalu dan saman itu difailkan menerusi Tetuan Hafarizam Wan & Aisha Mubarak.

Abu Bakar berkata, tuntutan berasingan terhadap kesemua defendan ialah ganti rugi am dan khas, ganti rugi teruk, ganti rugi keterlaluan dan/atau teladan serta turut menuntut injunksi, faedah dan kos.

Wan Ahmad dalam pernyataan tuntutannya terhadap defendan pertama, Mohamad Sabu mendakwa tuduhan defendan sangat serius dan menyebabkan kehinaan dan keaiban kepada plaintif di mata khalayak ramai dan masyarakat awam serta antarabangsa. 

Manakala tuntutan terhadap defendan kedua hingga kelima pula adalah penerbitan Akhbar Harakah Edisi Jumaat Bil. 1814 20-22 Rabiul Awal 1434/1-3 Februari membabitkan sebuah artikel dengan keterangan di muka akhir akhbar itu bertajuk 'Wan Ahmad Tak Boleh Dipercayai'.

Tuntutan lain terhadap defendan kedua hingga kelima berhubung sebuah artikel dengan keterangan di muka surat N60 akhbar itu bertajuk 'Ragu Peranan SPR-Wan Ahmad Omar Mesti Letak Jawatan'.

Dalam pada itu, ketika ditanya jumlah dan nilai ganti rugi berhubung saman fitnah ini, Wan Ahmad berkata, itu terpulang kepada keputusan mahkamah dan apa yang penting adalah beliau perlu membersihkan namanya dan juga institusi SPR daripada sebarang fitnah dan tuduhan palsu. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment