My Add

Wednesday 20 March 2013

Peniaga rugi RM1.3 juta kedai emas dirompak

KOTA BHARU, SELASA, 19 Mac, 2013: Seorang peniaga kerugian kira-kira RM1.3 juta apabila kedai emas miliknya yang terletak di Arked Uda di sini, dimasuki pencuri awal pagi tadi.

Kejadian rompakan itu yang dipercayai berlaku antara jam 1 hingga 2 pagi itu, hanya disedari menantu pemilik kedai itu ketika mahu menjalankan perniagaan kira-kira 10.30 pagi ini.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Azham Othman, berkata pihaknya mengesyaki rompakan itu dilakukan lebih daripada dua suspek yang memasuki kedai berkenaan melalui sebuah premis yang ditinggal kosong.

"Siasatan awal mendapati suspek memecahkan dinding kedai sebelah yang dibuat daripada papan dan dipercayai menggunakan besi kuku kambing untuk mengumpil peti besi yang mengandungi emas dan berlian tersebut," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Kes itu disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan iaitu pecah rumah dan curi dan jika disabitkan kesalahan boleh dipenjara sehingga 14 tahun atau denda.

Sementara itu, pemilik kedai emas itu, Rogayah Awang Teh, 70, berkata dia hanya mengetahui mengenai kejadian tersebut selepas dihubungi oleh menantunya yang ditugaskan untuk menjaga kedai terbabit, kira-kira 11 pagi tadi.

"Saya tutup kedai kira-kira 5 petang semalam dan ia kejadian pertama menimpa saya sejak menjalankan perniagaan di sini.

"Saya hairan bagaimana kejadian itu boleh berlaku pada waktu malam kerana kawasan perniagaan ini mempunyai pengawal," katanya.

Tinjauan Bernama mendapati terdapat kira-kira 15 premis menjual pelbagai barangan kemas di deretan kedai yang dibuat daripada papan.

Rata-rata peniaga pula tidak mementingkan langkah keselamatan dengan tidak memasang kamera litar tertutup ataupun sistem penggera di premis perniagaan milik mereka. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment