My Add

Monday 11 March 2013

Penjawat awam diingat jangan sabotaj usaha kerajaan

KANGAR, ISNIN, 11 Mac, 2013: Penjawat awam diingatkan agar tidak mensabotaj usaha kerajaan dalam menjaga kebajikan rakyat dan negara semata-mata kerana terpengaruh dengan dakyah pembangkang.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian Perlis, Sabry Ahmad berkata, sudah terbukti janji pembangkang hanya mainan dan boleh merosakkan masa depan negara.

"...pembangkang tidak menjanjikan masa depan yang baik," katanya, berucap mewakili Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Dr. Md. Isa sabu pada perhimpunan bulanan sektor awam Perlis, di sini hari ini.

Sabry juga berkata, penjawat awam di bawah kepimpinan kerajaan sedia ada menikmati kehidupan selesa.

Beliau juga berharap penjawat awam di Perlis membantu menjayakan wawasan negeri 'Perlis Maju 2015' yang kini 70 peratus daripada indikatornya telah dipenuhi.

Selain itu, penjawat awam juga antara kelompok yang turut berpeluang menikmati kemudahan rumah mampu milik di bawah skim Perumahan Rakyat 1Malaysia, membabitkan pembinaan 10,000 unit rumah di Perlis dalam tempoh lima tahun.

Sebelum itu, Pengarah Penerangan Perlis, Mohamed Lokman Mahmud dalam ucapannya berkata pihaknya akan memberi penerangan mengenai dasar kerajaan kepada rakyat secara lebih agresif menerusi pelbagai program.

Katanya, rakyat termasuk penjawat awam perlu diberi kefahaman tentang perkembangan semasa negara ini supaya mereka benar-benar menghayati pentadbiran kerajaan yang sentiasa menjaga kepentingan rakyt.

Pada majlis itu, penjawat awam turut dipersembahkan dengan nyanyian koir Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan (KPKK) Perlis yang diterajui Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Perlis. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment