My Add

Tuesday 12 March 2013

Penyelarasan gred bukti kerajaan hargai jasa pahlawan

KUALA LUMPUR, ISNIN, 11 Mac, 2013: Langkah kerajaan menyelaraskan pangkat dalam Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dengan Perkhidmatan Awam Am adalah satu lagi penghormatan buat pasukan keselamatan yang bertungkus-lumus menjaga keamanan negara.

Presiden Persatuan Bekas Polis Malaysia (PBPM), Shafie Bakri berkata, pengumuman baharu itu sekali gus membuktikan kerajaan begitu prihatin terhadap kebajikan anggota pasukan keselamatan dan mengenang jasa mereka dalam mempertahankan agama, bangsa dan negara.

"Saya bersyukur kerana kerajaan optimis dalam membela nasib ATM serta PDRM berikutan sentiasa tampil dengan idea-idea bernas.

"Saya juga berharap pada masa hadapan kerajaan sudi memberi kemudahan-kemudahan lain selaras dengan cabaran semasa tugas-tugas kepolisan dan ketenteraan yang digalas," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan semua pangkat dalam ATM dan PDRM disetarakan dengan Perkhidmatan Awam Am berkuat kuasa 1 Januari lalu.

Pelarasan tersebut kata Perdana Menteri, selaras dengan perubahan skim perkhidmatan ATM dan PDRM yang mencakupi skop fungsi tugas, struktur pangkat dan juga kelayakan.

Sementara itu, Presiden Persatuan Veteran Tentera Melayu (PVTM), Mohd. Ali Baharom berkata, usaha kerajaan memartabatkan peranan kedua-dua pasukan keselamatan tersebut merupakan langkah yang tepat terutama dalam menjana semangat anggota bertugas.

"Saya melihat khabar gembira ini mampu menjadi perangsang buat para anggota untuk bekerja lebih kuat dalam menghasilkan kemakmuran negara.

"Mereka ini bukan sahaja sanggup menggadaikan nyawa malah meninggalkan keluarga tersayang segala-galanya demi memastikan keamanan negara dan keselamatan rakyat," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment