My Add

Tuesday 26 March 2013

Peranan pesara polis penting bantu kekalkan keamanan: Ketua Polis Tawau

TAWAU, ISNIN, 25 Mac, 2013: Peranan pesara polis sangat penting dalam usaha membantu pasukan keselamatan mengekalkan ketenteraman awam dan keselamatan negara, kata Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Awang Besar Dullah.

Beliau berkata, sebagai bekas anggota polis, mereka mempunyai banyak pengalaman dan kemahiran yang amat berguna dalam membantu kerajaan, khususnya polis untuk memastikan keadaan negara terus aman dan bebas daripada sebarang ancaman.

"Kita memerlukan kerjasama daripada semua pesara polis terutama dalam menyalurkan maklumat dan bagi memastikan keamanan di kawasan mereka menetap terus terjamin. Pesara polis berpengalaman dalam hal yang berkait dengan keselamatan.

"Mereka tahu bagaimana menyalurkan maklumat dan tahu bagaimana untuk mendapatkan maklumat. Harapan saya ialah mereka sentiasa bekerjasama dengan pasukan polis dalam memastikan ketenteraman awam sentiasa terjamin," katanya.

Awang Besar berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri majlis Sambutan Peringatan Hari Polis Ke-206 peringkat daerah Tawau di perkarangan Ibu Pejabat Polis Daerah Tawau di sini, hari ini.

Menurut Awang Besar meskipun ramai dalam kalangan pesara polis berkenaan sudah lama meninggalkan pasukan polis, namun semangat juang mereka yang dipupuk semasa berkhidmat masih kental dan sedia menyumbang pengalaman dan kemahiran apabila diperlukan.

Katanya, sebagai pesara polis, pastinya mereka sentiasa bergaul dan berdamping dengan masyarakat setempat setiap hari dan dengan itu mereka lebih mengetahui keadaan dan situasi masyarakat di kawasan masing-masing.

Awang Besar berkata, berikutan insiden pencerobohan pengganas di Lahad Datu, pesara polis boleh menjadi sumber rujukan penduduk setempat selain mata dan telinga kerajaan bagi mengelak penyebaran khabar angin yang boleh menimbulkan suasana resah dalam masyarakat. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment