My Add

Wednesday 13 March 2013

Perkongsian strategik Malaysia, UAE RM39 bilion


 *NAJIB Tun Razak dan Jeneral Sheikh Mohammed Zayed Al Nahyan menyaksikan upacara pertukaran dokumen semasa majlis menandatangani perjanjian antara 1MDB dan UAE di pejabatnya di Bangunan Perdana Putra, Putrajaya hari ini. Turut kelihatan Pengerusi Aabar, Khadem Al Qubaisi (kiri) dan Pengerusi 1MDB, Tan Sri Lodin Wok Kamaruddin (kanan). - BERNAMA

PUTRAJAYA, SELASA, 12 Mac, 2013: Malaysia dan Emiriyah Arab Bersatu (UAE) hari ini bersetuju untuk mengadakan perkongsian strategik Aabar-1MDB bernilai RM18 bilion, untuk memberikan tumpuan kepada pelaburan mampan dalam projek-projek berimpak tinggi dan bagi Abu Dhabi membina kemudahan penyimpanan minyak mentah dan petroleum berharga RM21 bilion di luar pantai Tanjung Piai, Johor.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, pelaburan mampan dalam projek-projek berimpak tinggi amat penting bagi pertumbuhan ekonomi dan sosial Malaysia dalam jangka panjang, manakala kemudahan penyimpanan di Tanjung Piai, dengan kapasiti menyimpan 60 juta tong minyak mentah dan petroleum, akan mencetuskan kegiatan ekonomi yang ketara.

Beliau berkata, projek berbilion ringgit itu menandakan keyakinan terhadap kekuatan dan kestabilan jangka panjang Malaysia dan ekonominya, serta perkongsian yang semakin kukuh antara kedua-dua negara.

Beliau berkata, ketika negara lain di dunia terus berada dalam kelembapan ekonomi, ekonomi Malaysia memecut ke hadapan dengan pertumbuhan kukuh, kadar pengangguran rendah, kadar inflasi rendah dan tahap hutang yang terkawal.

"Dengan projek-projek seperti yang diumumkan hari ini, yang akan mewujudkan beratus ribu pekerjaan bergaji lumayan bagi rakyat Malaysia, kita boleh pasti bahawa negara kita bergerak lancar ke arah menjadi negara maju menjelang 2020," kata Najib sebelum beliau dan Putera Mahkota Abu Dhabi, Jeneral Sheikh Mohammed Zayed Al Nahyan, yang sedang mengadakan lawatan ke sini, menyaksikan upacara menandatangani inisiatif-inisiatif itu.

Putera Mahkota itu, yang juga Timbalan Komander Agung Angkatan Tentera UAE, berada di sini bagi lawatan rasmi ke Malaysia atas undangan Najib.

Terdahulu, Putera Mahkota itu mengadakan pertemuan empat mata dengan Najib.

Perdana Menteri berkata, semasa perbincangan yang berhasil dan merangkumi pelbagai perkara dari hubungan dua hala hinggalah kepada kerjasama dalam perdagangan dan pelaburan itu, kedua-dua pemimpin tersebut bersetuju bahawa memang ada potensi yang amat besar bagi kerjasama yang lebih luas.

Beliau berkata, kedua-dua negara haruslah mengenal pasti bidang-bidang bagi kedua-duanya bekerjasama untuk menghasilkan faedah-faedah ketara bagi kedua-dua negara.

Kata beliau, UAE adalah rakan dagang paling penting bagi Malaysia di rantau Teluk, yang menyaksikan nilai dagangan dalam 11 bulan tahun lepas mencecah RM24.8 bilion, meningkat 18 peratus berbanding 2011.

Sementara itu, 1MDB berkata, perkongsian strategik bernilai RM18 bilion untuk memperkenalkan inisiatif-inisiatif ekonomi baharu itu akan menjana pelaburan mampan jangka panjang bernilai berbilion ringgit di Malaysia.

Secara berasingan, Abu Dhabi akan meneruskan rancangannya untuk menyediakan modal yang diperlukan bagi pembangunan Tun Razak Exchange (TRX) yang berharga berbilion ringgit, menjadikannya pelabur peneraju multinasional utama pertama bagi nukleus pertumbuhan baharu itu, katanya dalam satu kenyataan.

1MDB ialah pemaju utama projek TRX, inisiatif nasional untuk memacu pertumbuhan dalam bidang-bidang baharu dan merintis jalan bagi Kuala Lumpur menjadi pusat global bagi kewangan, perdagangan dan perkhidmatan antarabangsa; manakala Aabar Investment PJS (Aabar) dari Abu Dhabi ialah syarikat pelaburan strategik yang dikuasai melalui International Petroleum Investment Companies (IPIC) milik negara Abu Dhabi.

Aabar diwakili oleh Pengerusinya dan Pengarah Urusan IPIC, Khadem Al Qubaisi, manakala 1MDB diwakili oleh Pengerusinya, Tan Sri Lodin Wok Kamaruddin.

Selain itu, Abu Dhabi telah memeterai satu perkongsian dengan 1MY Strategic Oil Terminal Sdn Bhd (1MY) untuk bersama mendirikan kemudahan penyimpanan minyak mentah dan petroleum jangka panjang di atas sebidang tanah seluas 1,000 ekar yang akan ditebus guna di luar pantai Tanjung Piai.

Kemudahan itu akan direka bentuk, dibina, dikendalikan dan disenggarakan bagi kegunaan eksklusif Abu Dhabi dan ia akan berfungsi sebagai Rizab Petroleum Strategik Abu Dhabi.

Dalam ucapannya, Sheikh Mohammed Zayed berkata, inisiatif-inisiatif itu akan memberi peluang bagi kedua-dua negara menjalin kerjasama yang lebih besar dan lebih luas.

"Pertemuan hari ini memberikan peluang yang baik bagi dialog dan pertukaran ide dan ia merupakan langkah penting untuk menangani beberapa isu dua hala dalam bidang kerjasama sedia ada," katanya.

Putera Mahkota itu merakamkan penghargaan atas usaha ikhlas dan peranan membina yang dimainkan oleh kerajaan Malaysia ke arah membina masa depan yang lebih baik bagi kedua-dua negara.

"Pengalaman Malaysia dalam pembangunan amat unik dan bermutu tinggi. Saya mendoakan kejayaan yang lebih besar bagi Malaysia dan rakyatnya," tegas beliau. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment