My Add

Friday 8 March 2013

Persatuan Penduduk mohon SPRM siasat ADUN Teratai

PUTRAJAYA, JUMAAT, 08 Mac, 2013: Persatuan Penduduk Pandan Perdana hari ini menyerahkan memorandum kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memohon siasatan berhubung kutipan derma oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Teratai, Jenice Lee untuk membina sebuah Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) di kawasan itu sejak 2008.

Naib Pengerusi Persatuan Penduduk, Terence Ee mendakwa, Jenice telah mengutip derma daripada penduduk setempat termasuk ketika sesi ceramah dan di pasar malam kononnya untuk membina sebuah sekolah seperti yang telah dijanjikan.

Menurutnya, para penduduk mahu ADUN berkenaan mendedahkan kepada umum jumlah kutipan derma sehingga kini memandangkan pembinaan sekolah itu dikatakan tidak mempunyai unsur politik.

"Apa yang menjadi tanda tanya penduduk ialah ketiadaan permohonan daripada ADUN tersebut untuk pembinaan sekolah yang dicadangkan di sebuah tanah seluas lima ekar milik kerajaan negeri Selangor.

"Tanah tersebut perlu ditukar milik terlebih dahulu sebelum dibina sekolah, sekiranya tiada pertukaran hak milik bagi tujuan pembinaan institusi maka tidak diserahkan kepada Kementerian Pendidikan, dan tiada sekolah yang boleh dibina di atasnya," katanya kepada pemberita selepas menyerahkan memorandum kepada SPRM di sini hari ini.

Terence berkata, mereka dimaklumkan permohonan tidak pernah dibuat walaupun Jenice mendakwa sebanyak 22,000 tandatangan kononnya telah diperoleh bagi menyokong pembinaan sekolah tersebut.

Beliau turut menggesa ADUN Teratai itu tampil menunjukkan bukti iaitu minit mesyuarat berkenaan permohonan kepada kerajaan negeri dalam Sidang DUN.

Sementara itu, bekas ahli DAP, Tony Tan yang mewakili penduduk berkata, mereka meminta SPRM menyiasat tentang kutipan derma yang dibuat oleh ADUN berkenaan sejak 2008.

"Kami mahu SPRM menyiasat kes ini kerana membabitkan seorang wakil rakyat, kami tidak mahu beliau menggunakan kaedah yang tidak betul untuk mengutip derma dan menabur janji kerana kami ada bukti kutipan dibuat," katanya.

Ahli persatuan penduduk yang hadir turut mengibarkan kain rentang yang tertera 'YB Janice Lee, di mana pergi wang kutipan untuk Sekolah Rendah Cina'. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment