My Add

Thursday 14 March 2013

Persatuan Si Gong sumbang RM100,000 untuk keluarga perwira negara

 *AYUB Yaakob (dua kanan) menerima replika cek sumbangan sebanyak
RM100,000 daripada Ch'ng Keng Hock (dua kiri) dalam satu majlis makan
malam di Klang, malam tadi. - UTUSAN/SITI ROHAIZAH ZAINAL

Oleh SITI ROHAIZAH ZAINAL
KLANG, KHAMIS, 14 Mac,2013: Bagi menghargai jasa dan pengorbanan pasukan keselamatan yang gugur semasa Ops Daulat di Sabah, Persatuan Si Gong Pandamaran menyerahkan sumbangan RM100,000 kepada Tabung Kebajikan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam satu majlis makan malam, di sini malam tadi.

Sumbangan itu merupakan hasil kutipan yang diusahakan Persatuan Si Gong untuk membantu meringankan beban keluarga anggota keselamatan yang kehilangan orang tersayang.

Penasihat Persatuan Si Gong, Datuk Ching Eu Boon berkata, sumbangan itu menandakan sokongan dan keprihatinan masyarakat Cina terhadap pengorbanan pasukan keselamatan dalam mempertahankan negara daripada penceroboh.

"Masyarakat Cina di negara ini juga mempunyai semangat patriotik dan cintakan negara serta menghargai jasa dan pengorbanan pasukan keselamatan. Kita tidak rela negara diceroboh dan menyokong usaha pasukan keselamatan dalam mempertahankan negara," katanya.

Beliau berkata demikian selepas majlis penyerahan replika cek sumbangan tersebut oleh Presiden Yayasan Si Gong, Ch'ng Keng Hock kepada Pengerusi Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) Bukit Aman, Datuk Wira Ayub Yaakob yang turut disaksikan Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Lee Chee Leong.

Yang hadir sama, Ketua Polis negeri, Datuk Tun Hisan Tun Hamzah dan Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Mohamad Md. Yusof.

Kira-kira 1,000 penduduk Pandamaran yang menghadiri majlis makan malam tersebut turut berdiri sambil mengibarkan bendera Malaysia sebagai tanda sokongan kepada pasukan keselamatan yang bertugas dalam Ops Daulat.

Mereka juga memegang kain rentang yang tertulis "Kita sokong PM menghapuskan penceroboh Sulu".

Sementara itu, Ayub ketika ditemui berkata, beliau terharu dan berterima kasih atas sokongan yang diberikan Persatuan Si Gong dan semua rakyat Malaysia kepada pasukan keselamatan yang berjuang dalam 'Ops Daulat'.

"Sokongan yang diberikan menyuntik semangat kami untuk berjuang mempertahankan kedaulatan negara," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment