My Add

Sunday 24 March 2013

Persediaan PRU-13 lebih 90 peratus siap: SPR 

Abdul Aziz Mohd Yusof
 ABDUL Aziz Mohd Yusof

BENTONG, SABTU, 23 Mac, 2013: Semua persediaan menghadapi Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13), antaranya dari segi logistik, penyediaan premis dan pemilihan petugas kini berada pada tahap lebih 90 peratus siap.

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof, berkata pihaknya kini hanya menunggu pembubaran Parlimen dan selepas penetapan tarikh penamaan calon dan hari pengundian, baki persiapan PRU akan disiapkan sepenuhnya.

"Semua sudah disediakan, termasukundang-undang juga yang perlu dipinda, borang-borang, kemudahan ICT... pegawai-pegawai, petugas-petugas telah dikenal pasti, dilatih, diberi taklimat dan diberi latihan amal.

"Jadi semua perkara kita dah rancang dengan teliti, latihan sudah dibuat, semangat sudah diberi, bajet sudah ada, dari segi persediaan kecuali helikopter, kapal terbang yang kita tak boleh tempah sekarang sebab bayaran dikira harian, kalau dah betul esok...akan dimaklumkan kepada mereka," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas memberikan ucapan di majlis taklimat akhir PRU-13 bagi pegawai pengurus dan penolong pegawai pengurus Wilayah Persekutuan dan Putrajaya, di Bukit Tinggi dekat sini, hari ini yang adalah kumpulan terakhir dalam sesi taklimat ulangan PRU-13 seluruh negara.

Pada majlis itu, beliau turut menyerahkan watikah pelantikan pegawai pengurus pilihan raya (RO) dan pegawai penolong pengurus pilihan raya bagi Wilayah Persekutuan dan Putrajaya.

Berpuas hati dengan segala persediaan setakat ini, Aziz berharap segala persediaan dan pembaharuan yang dilakukan, digunakan pengundi, pemimpin parti dan calon-calon sebaik mungkin, seterusnya memastikan PRU-13 berjalan dengan baik.
"Saya berani jamin, PRU-13 ini tidak akan jadi yang terkotor, SPR berusaha sedaya upaya supaya PRU ini berjalan dengan bersih dan tidak banyak kesilapan, kita dah buat latihan berulang, perancangan yang lama dengan peralatan lengkap, mengadakan tempat mengundi yang cukup dan pindaan kepada undang-undang, peraturan dan borang, begitu juga memberi peluang mengundi kepada semua orang," katanya.

Bagaimanapun, Aziz berkata beliau sedikit kecewa dengan jumlah rakyat Malaysia di luar negara yang memohon untuk mengundi pos, di mana menurutnya sehingga semalam, hanya terdapat 5,590 permohonan.

Menyifatkan jumlah itu sebagai tidak memuaskan, beliau berkata daripada permohonan itu, sebanyak 713 ditolak kerana tidak layak antaranya disebabkan pemohon tidak berdaftar sebagai pengundi dan pengundi tidak cukup umur.

Katanya, permohonan tertinggi adalah dari Australia, diikuti United Kingdom, China, Amerika Syarikat dan Qatar.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata dakwat kekal yang akan digunakan pada hari pengundian, akan diedarkan kepada negeri-negeri pada hari pembubaran Parlimen.

"Sebanyak 10,000 botol untuk undi awal, 200,000 botol untuk undi biasa...ketahanan dakwat kekal ini berbeza, untuk undi awal lebih lama dan warna botolnya pun lain," katanya.

Mengenai kebenaran setiap parti politik menyiarkan manifesto masing-masing di Radio Televisyen Malaysia (RTM) selama 10 minit, beliau berkata pihaknya akan berjumpa dengan pihak Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan dan parti-parti politik dalam masa terdekat bagi membincangkan lebih lanjut mengenainya.

Orang ramai kini boleh melayari laman web www.PRU13.gov.my, bagi mengetahui antara lain, pusat mengundi dan maklumat penting mengenai PRU-13.

PRU-13 dapat dijalankan serentak

BENTONG: Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof yakin Pilihan Raya Umum ke-13 dapat dijalankan serentak walaupun sekiranya ada kerajaan negeri membuat keputusan menunggu tempoh sah Dewan Undangan Negeri masing-masing tamat secara automatik.

Beliau berkata, SPR mempunyai masa sehingga 60 hari untuk menetapkan tarikh penamaan calon dan hari pengundian selepas pembubaran Parlimen.

"Katakan 26 Mei ini Parlimen dibubarkan, saya masih ada sampai 26 Mei untuk menetapkan tarikh, dalam tempoh itu boleh dikatakan semua DUN perlu bubar, tidak ada yang lebih daripada 26 Mei," katanya kepada pemberita selepas memberikan ucapan di majlis taklimat akhir PRU-13 bagi pegawai pengurus dan penolong pegawai pengurus Pilihan Raya Wilayah Persekutuan dan Putrajaya.

Beliau berkata, SPR akan berusaha sedaya upaya untuk menjalankan PRU-13 secara serentak bagi mengelakkan perbelanjaan yang terlampau banyak jika diadakan berasingan.

Mengulas mengenai DUN Negeri Sembilan yang akan tamat tempoh Selasa ini, beliau menjelaskan bahawa pembubaran DUN itu tidak akan menggangu pentadbiran negeri itu.

"Bila tamat yang menerima kesan ialah negeri itu sahaja iaitu, kesan yang pertama elaun semua anggota DUN akan tamat serta-merta, tetapi Speaker, Menteri Besar dan Exco masih berjalan seperti biasa di bawah kategori kerajaan sementara," katanya.

Justeru, beliau berkata rakyat tidak perlu ragu perjalanan negeri akan terbantut, kerana kerajaan sementara akan menjalankan pentadbiran negeri, cuma menurutnya, mereka tidak boleh membuat apa-apa keputusan baharu dan mengadakan apa jua dasar baru.

Sementara itu, mengulas mengenai dakwaan bahawa seorang pengendali blog berdaftar sebagai pengundi menggunakan dua identiti, beliau berkata pihaknya sedang melakukan siasatan.

Bagaimanapun, beliau yakin pada PRU akan datang isu pertindihan nama pengundi tidak berlaku, kerana selain semakan dilakukan dengan Jabatan Pendaftaran Negara, Polis Diraja Malaysia dan Angkatan Tentera Malaysia, sistem dakwat kekal juga akan dilaksanakan. - BERNAMA


No comments:

Post a Comment