My Add

Monday 18 March 2013

Peruntukan tambahan tingkat keupayaan tentera

KUALA LUMPUR, AHAD, 17 Mac, 2013: Peruntukan tambahan menaik taraf kemampuan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak semalam, membuktikan kesungguhan kerajaan untuk meningkatkan keupayaan aset tentera dalam memastikan kedaulatan negara terjamin.

Presiden Persatuan Bekas Tentera Malaysia (PBTM), Tan Sri Mohd. Anwar Mohd. Nor berkata, langkah itu menunjukkan komitmen Perdana Menteri dalam mewujudkan pasukan angkatan tentera yang seimbang melalui pemilikan aset-aset baharu berteknologi tinggi.

"Peruntukan itu mampu memperkasakan aset-aset tempur baharu negara bagi memastikan ATM memiliki kuasa tempur dan kesiapsiagaan yang unggul dalam peperangan.

"Malah, dengan adanya aset-aset tersebut dapat melatih warga ATM yang berkualiti, berdisiplin, berketerampilan, berkemahiran dan berpengetahuan tinggi dalam mengekalkan keselamatan dan kedaulatan negara," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Perdana Menteri ketika mengumumkan perkara itu semalam memberitahu, peruntukan tambahan itu melibatkan penambahbaikan dari segi peralatan, latihan dan kemahiran dan perisikan ATM berikutan insiden pencerobohan pengganas Sulu di Sabah baru-baru ini.

Mohd. Anwar berkata, peruntukan itu juga membantu usaha kerajaan untuk mentransformasikan ATM sebagai satu organisasi yang cemerlang dan diyakini masyarakat dalam pelaksanaan sebagai badan pasukan keselamatan.

Tambah beliau, ini juga dapat menentukan kesiapsiagaan ATM melalui pelbagai usaha peningkatan pengurusan dari segi latihan dan kemahiran yang menentukan penyelarasan pembangunan dalam pengukuran prestasi ATM. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment