My Add

Saturday 9 March 2013

PM makan tengah hari bersama rakyat di Melaka

 *NAJIB Tun Razak (dua darii kiri) bertanya sesuatu kepada para peniaga sambil
 diperhatikan Mohd. Ali Rustam (kiri) dan orang ramai yang menunggu kehadiran
 Perdana Menteri pada majlis pelancaran Medan Selera Jalan Tun Ali, Melaka hari
 ini. - UTUSAN/AZLI AHAD

MELAKA, SABTU, 09 Mac, 2013: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini merasmikan Medan Selera Jalan Tun Ali dan meluangkan kira-kira 30 minit menikmati makan tengah hari bersama peniaga dan rakyat Melaka.

Beliau yang menaiki beca diiringi Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd Ali Rustam dan Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Abu Seman Yusop tiba di medan selera itu pada 12.35 tengah hari dari Pejabat UMNO negeri Melaka di Jalan Hang Tuah di sini.

Ketibaan Najib yang turut disambut kira-kira 1,000 penduduk daripada pelbagai kaum termasuk Baba Nyonya dan Chetti dimulakan dengan menandatangani plak perasmian medan selera itu sebelum memulakan lawatan ke setiap gerai.

Perdana Menteri kemudian singgah untuk makan tengah hari di sebuah daripada gerai di situ dan memilih menu masak asam pedas ikan pari dan ayam berempah.

Pemilik kafe Mohd. Rafi Muhidan, 51, berkata, beliau dan anggota keluarga amat bangga dan terharu dengan lawatan Najib yang sempat menikmati makan tengah hari di gerainya.

"Saya terlalu gembira dan berharap semoga dengan kedatangan Perdana Menteri ini perniagaan saya akan bertambah maju pada masa akan datang," katanya yang berniaga di gerai itu sejak Ogos tahun lepas.

Gerai bernilai RM2.7 juta melalui peruntukan disalurkan Unit Perancang Ekonomi Jabatan Perdana Menteri itu mula dibina pada 18 April 2011 dan siap sepenuhnya pada 9 Feb 2012.

Gerai dua tingkat yang disewa kepada peniaga pada kadar RM520 sebulan itu dilengkapi pelbagai kemudahan awam termasuk surau, tandas dan ruang gimnasium rakyat.

Pada majlis sama, Najib turut melancarkan Bas Panorama yang merupakan perkhidmatan bas henti-henti di negeri Melaka. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment