My Add

Tuesday 5 March 2013

PM seru rakyat sokong pejuang negara tamatkan pencerobohan

KUALA LUMPUR, SELASA, 05 Mac, 2013: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menyeru seluruh rakyat Malaysia supaya terus berdiri teguh dan menyokong para pejuang negara dalam operasi bagi menamatkan pencerobohan pengganas di Sabah.

"Doakan kejayaan mereka yang berjuang di Lahad Datu dan Semporna," katanya di dalam laman Facebook beliau hari ini.

Najib juga bersyukur apabila dimaklumkan bahawa operasi tersebut berjalan seperti dirancang.

"Pagi tadi, saya telah mengeluarkan kenyataan bahawa kita tidak akan benarkan sesiapa sahaja menggugat kedaulatan negara," katanya.

Beliau berkata, operasi memberkas penceroboh dan pemeriksaan dari rumah ke rumah sedang dilakukan.

Sementara itu, di dalam laman blog beliau www.1malaysia.com.my, turut dimuatkan klip video lagu patriotik Inilah Barisan Kita bagi menyuntik semangat terhadap pasukan keselamatan negara yang berjuang untuk keselamatan negara dan bangsa.

Pasukan keselamatan telah melancarkan serangan ofensif ke atas pencerobohan pengganas Sulu di Kampung Tanduo, Lahad Datu pada pukul 7 pagi ini. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment