My Add

Wednesday 6 March 2013

PM umum 8 agenda makmurkan negara, ummah

KUALA LUMPUR, SELASA, 05 Mac, 2013: Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan kerajaan bersetuju untuk menaik taraf Darul Quran Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) kepada sebuah Kolej Universiti Al-Quran.

Perdana Menteri berkata, kerajaan sentiasa berhasrat untuk memperkasa institusi tersebut bagi memartabat kedudukan al-Quran dan para huffaz di negara ini.

"Di Malaysia sejak tahun 1966, kita amat beruntung kerana memiliki sebuah institusi tahfiz terulung itu untuk memberi peluang kepada anak-anak kita menghafaz serta mengkaji ilmu-ilmu al-Quran secara sistematik.

"Tujuan menaik taraf Darul Quran itu kepada kolej universiti adalah untuk melahirkan generasi ulul albab yang berkemahiran menguasai ilmu al-Quran dan sains sekali gus menjadi tokoh kepada masyarakat dan negara,"katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengumumkan lapan agenda kerajaan untuk memakmurkan negara serta mengislah ummah pada Majlis Perhimpunan Perdana Ulama-Umara dan Asnaf di Stadium Putra Bukit Jalil yang dihadiri lebih 16,000 orang di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom; Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr. Mashitah Ibrahim dan Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) Datuk Othman Mustapha.

Mengulas lanjut, Najib turut mengumumkan bahawa kerajaan juga bersetuju menggunakan kaedah Autopsi Maya bagi menggantikan kaedah bedah siasat mayat yang diamalkan sekarang di hospital terpilih.

Katanya, Islam berpegang kepada prinsip bahawa jasad seseorang yang meninggal dunia tetap mempunyai kemuliaan yang wajib dihormati dan dipelihara seperti mana orang masih hidup.

"Persetujuan ini dibuat berdasarkan hasil Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia kali ke-73 pada tahun 2006 yang telah memutuskan penggunaan kaedah autopsi maya dalam bedah siasat mayat wajib diberi keutamaan,"ujarnya.

Sementara itu, enam lagi agenda yang diumumkan Perdana Menteri adalah menaik taraf Jakim, memperkasa program Kelas al-Quran dan Fardhu Ain (Kafa), Skim Khairat Nasional, meneruskan program Khas Haji Yayasan 1Malaysia Development Berhad (1MDB), memperkasa institusi masjid dengan pendekatan teknologi maklumat serta urus tadbir terbaik dan memberi sumbangan kewangan kepada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment