My Add

Friday 8 March 2013

PM ziarah keluarga Allahyarham Sarjan Sabarudin di Sungai Besar

Oleh HELMI MOHD. FOAD
SABAK BERNAM, JUMAAT, 08 Mac, 2013: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini melawat keluarga Sarjan Sabarudin Daud yang terkorban dalam insiden tembak-menembak di Kampung Tanduo, Lahad Datu, Sabah, di rumah mereka di Kampung Sungai Lias, Sungai Besar di sini.

Dalam pertemuan dengan balu Allahyarham, Nurunnisa Abu Bakar, 40, Perdana Menteri menyampaikan ucapan takziah dan memberikan kata-kata semangat agar Nurunnisa sekeluarga tabah menghadapi dugaan tersebut.

Menurut Nurunnisa, Perdana Menteri juga menyatakan rasa bangga beliau kerana Allahyarham telah menjadi seorang perwira yang mempertahankan kedaulatan negara.

"Perdana Menteri minta saya tabah hati dengan dugaan ini dan beliau menyatakan Majlis Fatwa Kebangsaan telah membuat ketetapan bahawa Allahyarham telah mati syahid.

"Saya juga mengucapkan terima kasih kepada Persatuan Kebajikan Polis (Perkep) Ulu Kinta, Perak kerana banyak membantu dan tidak henti-henti memberikan saya kata-kata semangat selama seminggu ini hingga menjadikan saya tabah," katanya kepada pemberita.

Dalam kunjungannya itu, Perdana Menteri turut menyampaikan sumbangan sebanyak RM20,000 daripada Yayasan Kelana Ehsan kepada keluarga Allahyarham selain sumbangan peribadi yang tidak diumumkan.

Yang turut hadir, Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Noh Omar dan Ketua Polis Selangor, Datuk Tun Hisan Tun Hamzah.

Sabarudin, anggota polis komando VAT 69, terbunuh pada 1 Mac lalu dalam pertempuran di Kampung Tanduo, Lahad Datu yang menjadi kubu kumpulan pengganas dari Sulu.

Selain isteri, Allahyarham turut meninggalkan dua anak lelaki dan seorang anak perempuan berusia antara 13 dan 17 tahun. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment