My Add

Tuesday 26 March 2013

Polis perlu tingkatkan ilmu untuk kekal relevan

Oleh HAKIMI ISMAIL
SHAH ALAM, ISNIN, 25 Mac, 2013: Pegawai dan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) perlu sentiasa melengkapkan diri dengan ilmu berkaitan undang-undang dan perhubungan dengan masyarakat untuk terus kekal relevan di negara ini.

Timbalan Ketua Polis Selangor, Datuk A. Thaiveegan berkata, langkah itu perlu kerana mereka sentiasa berdepan dengan pelbagai lapisan masyarakat.

"Saya mengingatkan anggota polis supaya bersedia untuk menghadapi sebarang kemungkinan, termasuk menangani ancaman ke atas keselamatan negara," katanya ketika ditemui pemberita selepas majlis sambutan Peringatan Hari Polis ke-206 peringkat Kontinjen Selangor di Dataran Kemerdekaan Shah Alam di sini hari ini.

Thaiveegan berkata, pihaknya merakamkan ucapan terima kasih kepada kerajaan yang telah menyelaraskan semua pangkat dalam pasukan polis dengan perkhidmatan awam mengikut perubahan lapisan serta gred jawatan atau gred gaji.

Menurut beliau, langkah itu adalah sebagai pengiktirafan kepada semua pegawai serta anggota polis yang bekerja keras siang dan malam bagi menjaga ketenteraman awam mahupun keselamatan negara.

Terdahulu, beliau menyampaikan sijil penghargaan kepada 48 individu, merangkumi anggota polis dan orang awam, sempena sambutan berkenaan di peringkat Kontinjen Selangor.

Majlis tersebut diserikan dengan kehadiran 520 pegawai dan anggota pelbagai pangkat di Selangor, dan dimeriahkan dengan beberapa persembahan termasuk persembahan kawad oleh pelajar Sekolah Menengah Seksyen Dua di sini, tempur tanpa senjata serta pantomin arahan pelawak dan pelakon, Jalil Hamid. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment