My Add

Tuesday 12 March 2013

Polis tahan 10 warga asing, rampas dadah bernilai RM700,000

KUALA LUMPUR, SELASA, 12 Mc, 2013: Polis menahan sembilan lelaki dan seorang wanita warga asing serta merampas 11.3 kilogram dadah yang dianggarkan bernilai RM700,000 di sebuah pangsapuri di Subang Jaya, di sini, Sabtu lalu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman, Datuk Noor Rashid Ibrahim berkata mereka yang ditahan terdiri daripada enam warga negara Nigeria dan seorang masing-masing dari Pakistan, Republik Guinea, Afrika Selatan dan Thailand.

“Sindiket itu dipercayai didalangi warga Nigeria yang bertanggungjawab membawa masuk dadah jenis heroin bermutu tinggi seberat 10.1 kilogram dan dadah jenis syabu seberat 1.2 kilogram dan dipercayai bergiat aktif sejak tahun lalu di sekitar Subang Jaya dan Petaling Jaya,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Beliau berkata, dadah itu dipercayai diseludup ke negara ini dari Pakistan dan Nigeria dengan pelbagai modus operandi penyeludupan.

"Seorang lelaki warga Nigeria yang berumur 30 tahun dipercayai mengetuai sindiket itu telah menemui ajal apabila suspek terjatuh dari tingkat 3 di kediamannya di Subang Jaya semasa cuba melarikan diri semasa polis menyerbu rumahnya Sabtu lalu," katanya.

Suspek meninggal dunia semasa dalam perjalanan ke hospital.

Noor Rashid berkata, kesemua suspek menggunakan visa pelajar bagi memasuki negara ini. 

Beliau berkata, kejayaan terbaru itu adalah hasil maklumat daripada orang ramai yang membantu polis dengan menyalurkan aktiviti yang meragukan di kawasan tempat tinggal mereka.

"Kesemua suspek yang berumur lingkungan 28 hingga 41 tahun itu ditahan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.

Polis turut menyita wang tunai RM21,678 dan AS$1,100. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment