My Add

Wednesday 6 March 2013

Polis tahan ketua kumpulan 'Mat Puling'

KEPALA BATAS, SELASA, 05 Mac, 2013: Polis Pulau Pinang percaya dapat menyelesaikan beberapa kes samun di sekitar negeri ini selepas menahan seorang lelaki yang dipercayai ketua kumpulan 'Mat Puling' dalam satu operasi di Kampung Jarak, di sini, malam tadi.

Lelaki berusia 25 tahun dikehendaki polis itu ditahan pada jam 9 malam hasil maklumat awam dan risikin pasukan Unit Jenayah Berat (D9) Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU) yang diketuai Inspektor Mohd Yusuf Ibrahim.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pulau Pinang, Superitendan Asisten Komisioner Mazlan Kesah, berkata lelaki itu ditahan di sebuah rumah yang dipercayai dijadikan markas kumpulan berkenaan bersembunyi dan menyimpan barang-barang samun.

"Semasa serbuan, dia cuba melarikan diri tetapi gagal kerana pasukan D9 mengepung rumah berkenaan dan kita turut merampas pelbagai barangan antaranya wang tunai, barangan kemas, beg duit, telefon bimbit dan komputer riba.

"Selain itu polis turut menemui pelbagai alatan yang digunakan untuk memecah kereta dan kediaman dalam rumah sewa berkenaan," katanya ketika dihubungi Bernama di sini, hari ini.

Mazlan berkata, kumpulan Mat Puling yang aktif sejak beberapa tahun lalu dianggotai lebih 10 orang dan usaha mengesan mereka yang masih bebas giat dijalankan.

Modus operandi kumpulan itu ialah bergerak dengan motosikal secara berkumpulan antara dua hingga empat buah motosikal sebelum menyamun terutamanya wanita yang membawa beg tangan.

Mazlan berkata, siasatan lanjut termasuk kaitan kumpulan itu dengan kejadian warga emas maut disamun pada Disember lalu sedang dijalankan dan lelaki itu kini direman bagi membantu siasatan.- BERNAMA

No comments:

Post a Comment