My Add

Friday 15 March 2013

PR cabar Muhyiddin dedah bukti jika benar pembangkang mahu gagal PRU13

SHAHIZATUL FARHAS ROSLI DAN JAMILAH HAMZAH
SENAI, JUMAAT, 15 Mac, 2013: Pakatan Rakyat (PR) mencabar Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengemukakan dokumen yang didakwa mengandungi maklumat rancangan pembangkang mahu menggagalkan Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) kepada pihak berkuasa.
Pesuruhjaya Pas Johor, Datuk Dr Mahfodz Mohamed berkata, dokumen itu perlu diserahkan agar siasatan dapat dijalankan dan tindakan lanjut diambil.

“Kalau betul ada dokumen, serahkan saja pada pihak berkuasa supaya siasatan dapat dibuat. Jangan hanya bawa fitnah dan cakap sahaja tapi dia (Muhyiddin) juga perlu bertindak,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Dalam pada itu, Mahfodz menyangkal dakwaan bahawa pembangkang mempunyai rancangan mencetuskan huru-hara dan menggagalkan PRU13 seperti didakwa dan menganggapnya sebagai tuduhan tidak berasas.

“Perkara itu takkan berlaku sebab kita sudah beberapa kali hadapi PRU namun tidak pernah ada huru-hara apatah lagi dalam PRU kali ini kita amat yakin bahawa PR akan menang.

“Jadi kenapa perlu kita nak gagalkan PRU jika PR punyai peluang tinggi untuk menang, mungkin dia (Barisan Nasional) yang akan buat huru-hara sebab biasanya hanya orang yang kalah akan buat begitu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Muhyiddin pada Rabu, yang mendakwa mempunyai maklumat bahawa pembangkang dipercayai merancang menggagalkan PRU13 dengan mewujudkan porak-peranda.

Sementara itu, Pengerusi PKR Negeri, Datuk Chua Jui Meng menganggap Umno sebagai 'pengganas' sebenar yang akan mencetus huru-hara berikutan beberapa tindakan provokasi terhadap pembangkang sebelum ini.

“Itu adalah tuduhan liar, dan kita boleh nampak banyak tindakan keganasan terhadap PR dilakukan oleh pihak Umno sendiri.

“Saya sendiri telah diserang dan diancam beberapa kali ketika mengadakan ceramah, jadi siapa yang ganas dan bertindak mencetus huru-hara?” katanya.

Jui Meng berkata, pembangkang sentiasa mempertahankan keamanan dan tidak akan mengambil tindakan di luar kawalan walaupun terpaksa berhadapan kekalahan dalam PRU13 akan datang.

“Atas tuduhan itu, saya minta dia (Muhyiddin) beri jaminan keamanan dan tiada kekecohan jika saya adakan ceramah di kawasannya,” katanya.

Dalam pada itu, Naib Presiden Pas, Datuk Mustafa Ali berkata, tuduhan Muhyiddin bahawa pembangkang merancang untuk mewujudkan porak peranda dan menggagalkan pilihan raya adalah tidak berasas.

Menurutnya, PR telah lama bersedia dan menunggu perdana menteri membubarkan Parlimen sekali gus tiada sebab untuk pembangkang melakukan demikian.

Beliau berkata, jika Muhyiddin mempunyai dokumen yang membuktikan PR merancang huru-hara itu, ia perlu didedahkan.

"Tidak ada sebab kita nak buat huru-hara dan menggagalkan PRU13, jika benar Muhyiddin ada dokumen itu, dedahkanlah," katanya kepada Sinar Harian Online.

Sehubungan itu, Setiausaha Agung PKR Datuk Saifuddin Nasution Ismail juga menyangkal dakwaan Muhyiddin.

Bagaimanapun, Saifuddin sebaliknya mendakwa dokumen yang diperolehi pemimpin nombor dua negara itu adalah berkaitan rancangan BN sendiri untuk menggagalkan PRU13.

"... dokumen-dokumen yang Muhyiddin katakan itu adalah dokumen-dokumen yang mempunyai perancangan oleh BN sendiri.

"... itu tak ada kena mengena dengan kita, sebaliknya BN," katanya.

Mengulas lanjut, Saifuddin berkata, sepatutnya Muhyiddin tahu apa yang ingin dilakukannya mengenai dokumen itu jika ia benar.

"Saya percaya Muhyiddin tahu apa yang perlu dilakukan mengenai dokumen tersebut," katanya lagi. - Sinar Harian

No comments:

Post a Comment