My Add

Saturday 23 March 2013

Projek rumah siap 2018

KUALA LUMPUR, SABTU, 23 Mac, 2013:
LEMBAGA Pembangunan Tanah Persekutuan (Felda) berhasrat menyiapkan perumahan untuk generasi keduanya di bawah Projek Sentuhan Kasih dalam tempoh lima tahun akan datang.

Pengerusi Felda, Tan Sri Isa Abdul Samad berkata, projek itu bakal meliputi kesemua 11 wilayah Felda dan usaha mengenal pasti kawasan baru bagi pembangunan sedang dijalankan.

“Kami berusaha mendirikan lebih banyak rumah bagi projek itu di semua kawasan dan bercadang membina 4,000 unit dalam masa setahun,” katanya selepas majlis menandatangani memorandum persefahaman antara Felda dan Malaysia Building Society Bhd (MBSB) di Kuala Lumpur, semalam.

Projek Sentuhan Kasih Felda akan melibatkan pembinaan 100 unit rumah bagi setiap satu wilayah. Setiap rumah mempunyai keluasan lantai 1,000 kaki persegi dan dianggarkan berharga RM76,000.

Bagi permulaan, sejumlah 300 unit rumah akan dibina di Felda Tenggaroh 3, Felda Chini Timur 2 dan Felda Tenang Besut.

Sementara itu, MBSB memperuntukkan RM250 juta bagi pembiayaan secara Islam di bawah produk pembiayaan kontrak dan SME ekspres tunai bagi kontraktor Felda dan kumpulan syarikat di bawahnya yang berkelayakan.

Melalui memorandum itu, MBSB menyediakan kemudahan berupa pembiayaan untuk membolehkan kontraktor membeli bahan atau peralatan bagi melaksanakan kontrak atau pesanan pembelian yang diberikan Felda.

Nilai permohonan untuk pembiayaan kontrak ialah RM1 juta dengan kemudahan yang ditawarkan adalah dalam bentuk pelbagai perdagangan. Bagi SME ekspres tunai, MBSB akan menyediakan garis pra diluluskan sehingga RM1 juta.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif MBSB, Datuk Ahmad Zaini Othman berkata, institusi kewangan tersebut akan mengenal pasti kontraktor Felda yang layak untuk kemudahan pembiayaan tersebut.

“Tempoh pinjaman bergantung kepada kontrak. Kalau kontrak bekalan mungkin setahun namun kalau kontrak besar, kemungkinan dua hingga tiga tahun,” katanya.

Setakat ini, Felda mempunyai 1,734 kontraktor berdaftar, di mana 1,581 kontraktor terdiri daripada kontraktor Bumiputera. -BERNAMA

No comments:

Post a Comment