My Add

Tuesday 19 March 2013

Proses pelaksanaan SRI perlu ikut jadual

 KUALA LUMPUR, SELASA, 19 Mac, 2013: Proses pelaksanaan Inisiatif Pembaharuan Strategik (SRI) perlu dijalankan mengikut jadual yang ditetapkan kerana ia saling berkaitan.

Menurut Laporan Tahunan Program Transformasi Ekonomi (ETP) 2012 yang dikeluarkan Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan (PEMANDU) di bawah Jabatan Perdana Menteri, inisiatif SRI dirangka untuk saling berkaitan dan sebarang kelewatan akan melambatkan seluruh rantaian proses itu.

"Contohnya, pelaksanaan proses permohonan lesen baharu hanya boleh dilaksanakan secara berperingkat kerana perubahan ini memerlukan pindaan kepada undang-undang dan peraturan sebelum ia boleh dikuatkuasakan.

"Yang lain pula memerlukan penambahbaikan sistem dalam talian untuk memastikan proses permohonan lesen yang baru dikemaskini boleh dilaksanakan," kata laporan itu.

Kelewatan dalam pelaksanaan proses permohonan lesen baharu akan menjejas inisiatif lain, seperti mengautomasi lesen melalui Sistem Sokongan Elektronik Pelesenan Perniagaan (BLESS) dan pembangunan Sistem Pengawasan Prestasi Masa Sebenar.

"Fokus bagi tahun 2013 ialah untuk memastikan semua proses permohonan lesen baharu dilaksanakan mengikut jadual untuk mengelak penangguhan inisiatif lain," kata laporan itu.

Di bawah inisiatif Perekayasaan Semula Proses Perniagaan (BPR), bilangan lesen yang diperlukan untuk menjalankan perniagaan di negara ini dijangka akan dikurangkan daripada 788 kepada 525 menjelang 2015.
Bilangan lesen juga mungkin akan dikurangkan lagi selepas penyelesaian inisiatif BPR Fasa II yang melibatkan 184 lesen disemak semula.

"Sebaik sahaja lengkap proses semak semula lesen ini, ia akan dimasukkan ke dalam sistem dalam talian, melalui BLESS, bagi memudahkan lagi proses menjalankan perniagaan di Malaysia," kata laporan itu.

Sementara itu, usaha sedang dijalankan untuk Sistem Single Sign-On (SSO) yang membolehkan laluan identiti tunggal bersekuriti kepada pengguna untuk akses ke semua perkhidmatan dalam talian agensi kerajaan melalui Portal myGovernment, yang dijangka selesai pada 2013.

Di samping itu, bidang baharu untuk penambahbaikan akan dikenal pasti dari semasa ke semasa dan ditangani di bawah SRI Penyampaian Perkhidmatan Awam (PSD).

Ia bagi memastikan perkhidmatan awam kerajaan kekal cekap agar Malaysia terus bergerak ke hadapan untuk memenuhi aspirasinya menjadi sebuah negara berpendapatan tinggi. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment