My Add

Sunday 10 March 2013

PRU-13: Dulu enggan bubar DUN, sekarang tidak sabar

KUALA LUMPUR, AHAD, 10 Mac, 2013: Pembangkang yang sebelum ini enggan membubar Dewan Undangan Negeri (DUN) lebih awal di negeri-negeri dikuasai mereka, hari ini tidak sabar pula untuk menantikan pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berhubung pembubaran Parlimen.

Mungkin bosan menanti tarikh pilihan raya yang belum pasti, Penasihat DAP, Lim Kit Siang menganggap Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) boleh mencipta sejarah dunia sebagai negara paling lama berada dalam keadaan berteka-teki mengenai tarikh pembubaran Parlimen.

Penganalisis politik, Prof Madya Datuk Zainal Abidin Borhan berkata, kenyataan veteran politik DAP itu kerana pembangkang semakin hilang sabar menantikan tarikh PRU-13 dan terlalu yakin untuk menang.

Bagaimanapun katanya, soal cepat atau lambat sesuatu pilihan raya umum diadakan bukanlah satu masalah selagi ia tertakluk kepada Perlembagaan negara.

“Masalah cepat atau lambat pilihan raya tidak menjadi isu pada waktu ini. Hal itu tertakluk dalam rangka perlembagaan negara dan mereka (pembangkang) sebenarnya perlu menghormati perkara itu,’’ katanya kepada Utusan Online ketika dihubungi di sini hari ini.

Kit Siang dalam satu kenyataan yang dipetik oleh lidah rasmi Pas, Harakah Daily berkata, Malaysia boleh mencipta sejarah dunia dan disenarai dalam Guinness Book of Records sebagai negara yang paling lama berada dalam keadaan teka-teki tarikh pilihan raya apabila kempennya telah bermula sejak empat tahun dulu.

Malah, beliau juga mendakwa Najib secara tidak rasminya bukan lagi Perdana Menteri yang sah bermula semalam kerana ia sudah melepasi tempoh pemerintah dengan mengambil kira tarikh pilihan raya umum 2008 lalu.

Kit Siang yang telah bertanding dalam pilihan raya umum sejak tahun 1969, merupakan ahli politik paling lama terlibat dalam pilihan raya di Malaysia.- UTUSAN ONLINE

No comments:

Post a Comment