My Add

Friday 22 March 2013

Raja Pop Jamal buat konsert tribute P. Ramlee

Oleh HASNURUL MOHAMED

KUALA LUMPUR, KHAMIS, 21 Mac, 2013: Pentas Istana Budaya di ibu negara bakal menjadi medan bagi Raja Pop Malaysia, Jamal Abdillah untuk menjayakan konsert solo beliau Konsert Ekstravaganza Jamal Abdillah pada 30, 31 Mei, 1 dan 2 Jun ini.

Menurut Jamal, tujuan beliau mengadakan konsert itu adalah bagi menghargai dan mengenang hasil karya Allahyarham Tan Sri P. Ramlee yang telah 40 tahun meninggalkan kita.

Beliau berkata, dirinya terpanggil untuk meneruskan legasi lagu-lagu Allahyarham supaya ia sentiasa hidup dalam jiwa generasi hari ini dan akan datang.

"Saya mengumpamakan diri saya sebagai penyambung jiwa P. Ramlee yang terhenti. Maka itulah saya sanggup berkorban mengeluarkan duit hasil titik peluh saya sendiri untuk mengadakan konsert ini yang menelan belanja hampir RM500, 000", kata Jamal pada sidang akhbar yang diadakan di Istana Budaya di sini hari ini.

Hadir sama pada majlis itu, Ketua Pengarah Istana Budaya, Datuk Juhari Shaarani; Pengarah Muzik konsert ekstravaganza Jamal, Leonard Yeap; dan Pengarah Muzik UiTM, Razali Mustafa.

Jamal berkata, walaupun tiada penaja yang menyumbang kepada konsert solo beliau, namun jika ada syarikat korporat yang mahu membeli tiket, ia amatlah dialu-alukan.

Katanya lagi, beliau merancang untuk membuat sebuah konsert sempena memperingati Allahyarham Datuk Ahmad Jais. - UTUSAN ONLINE

No comments:

Post a Comment