My Add

Wednesday 13 March 2013

Rakyat hargai jasa perwira yang gugur di Lahad Datu

 *MUSTAPA Mohamed (tiga dari kiri) membaca surah Yasin buat Allahyarham Ahmad Hurairah Ismail yang terkorban dalam pertempuran dengan pengganas di Lahad Datu ketika menziarahi keluarga Allahyarham di Bayu Lalang, Pasir Mas, Kelantan malam tadi. Turut menziarahi ialah Ketua UMNO Bahaguian Pasir Mas, Hanafi Mamat (kiri sekali), Pengarah Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) Kelantan, Datuk Makhtar Mustapha (dua dari kanan) dan Brigedier Jeneral Datuk Muhamad Zaki Hamzah (kanan sekali). - UTUSAN/IRWAN MAJID

Oleh MOHD. HAFIZ ABD.MUTALIB
PASIR MAS, RABU, 13 Mac, 2013: Rakyat amat menghargai jasa dan pengorbanan anggota keselamatan yang gugur dalam Ops Daulat bagi mematahkan pencerobohan pengganas Sulu di Lahad Datu,Sabah.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan, Datuk Seri Mustapa Mohammed berkata, tiada lagi pengorbanan paling berharga selain daripada pengorbanan nyawa untuk mempertahankan kedaulatan negara tercinta ini.

"Inilah sumbangan terbesar seorang rakyat kerana dapat berkhidmat kepada negara tercinta. Dengan gugurnya perwira-perwira ini, menaikkan lagi semangat kita untuk berkorban apa sahaja demi negara.

"Mudah-mudahan Allah mencucuri rahmat kepada Allahyarham dan perwira-perwira lain yang telah gugur sebelum ini," katanya ketika menziarahi keluarga Allahyarham Prebet Ahmad Hurairah Ismail, 24, di Kampung Bayu Lalang di sini malam tadi.

Ahmad Hurairah daripada Batalion 7 Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) gugur dalam pertempuran menentang pengganas Sulu di Sungai Nyamuk, Lahad Datu pagi ini.

Mustapa turut memberikan sumbangan berjumlah RM10,000 daripada Kerajaan Pusat kepada Ismail Husin, 55, iaitu bapa kepada Allahyarham Hurairah. - UTUSAN ONLINE

No comments:

Post a Comment