My Add

Tuesday 12 March 2013

Rakyat perlu guna 'kuasa undi' kekalkan kerajaan BN

PUTATAN, SELASA, 12 Mac, 2013: Rakyat perlu menggunakan kuasa mengundi untuk mengekalkan kerajaan Barisan Nasional (BN) yang terbukti berjaya membela rakyat dan membangun negara, kata Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Yahya Hussin.

Beliau berkata pemilih berdaftar perlu keluar mengundi pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) nanti kerana setiap undi amat penting kerana ia akan menentukan nasib dan masa depan generasi kita.

“Rakyat perlu sedar betapa pentingnya undi mereka kepada BN untuk membentuk kerajaan yang mampu membantu mereka,” katanya pada Majlis Pemimpin Bersama Rakyat bagi Daerah Mengundi Putatan di Kampung Kepayan II dekat sini, hari ini.


Turut hadir ialah Ahli Parlimen Putatan, Datuk Dr Marcus Mojigoh dan Ketua Daerah Mengundi Putatan, Madiah Ahmad Mus dan pemimpin parti komponen BN yang lain.

Yahya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Petagas mengingatkan rakyat khususnya di kawasan Putatan supaya tidak mensia-siakan undi mereka dengan “cuba-cuba” mengundi pembangkang.

"Yang jelas, parti pembangkang setakat ini hanya tahu membuat pelbagai janji yang tidak mampu mereka tunai. Tiada bukti parti pembangkang mampu membela rakyat dengan baik," tegasnya.

Sebaliknya menurut Yahya, kerajaan BN hanya membuat janji yang dapat ditunaikan seperti pemberian Bantuan Rakyat 1Malaysia (BRIM), bantuan Baucar Buku 1Malaysia, Bantuan Awal Persekolahan, bantuan rumah dan lain-lain.
"Semua bantuan ini hanya dapat diteruskan jika rakyat terus memberikan sokongan padu dan mandat kepada BN dalam PRU-13 nanti," katanya.

Yahya optimis Parlimen Putatan yang meliputi Dewan Undangan Negeri (DUN) Petagas dan DUN Tanjong Aru akan terus menjadi milik BN dalam PRU-13.

Menurutnya, dengan sokongan padu yang diberikan oleh rakyat pelbagai kaum dan kerjasama erat jentera parti-parti komponen, BN akan dapat mempertahankan kerusi DUN dan Parlimen. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment