My Add

Tuesday 19 March 2013

Rakyat Sabah diseru bersatu hadapi ancaman luar

PITAS, ISNIN, 18 Mac, 2013: Insiden pencerobohan kumpulan militan di Lahad Datu, harus dijadikan iktibar kepada penduduk Sabah betapa mereka perlu menyiapkan diri menghadapi segala cabaran yang menimpa negeri ini dan betapa keamanan ialah sesuatu yang tidak ternilai harganya, kata Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Abdul Rahim Bakri.

Beliau berkata, walaupun Sabah terhindar daripada ancaman pengganas komunis yang menimpa Semenanjung Malaysia dan Sarawak, namun pencerobohon di Lahad Datu adalah ancaman kedua selepas serangan "peristiwa Kalabakan" Tawau, bahagian pantai timur pada tahun 1965.

Oleh itu, katanya, rakyat harus memahami sejarah dan mengelak pertelagahan sesama sendiri untuk menjaga bersama kedaulatan negara ini ibarat sebuah keluarga yang besar.

"Sekiranya rakyat berpecah-belah maka sudah tentulah ia akan membuka ruang yang luas kepada sesiapa sahaja untuk mengeksploitasi kelemahan itu.

"Dalam hal ini, rakyat tidak seharusnya terpengaruh dengan dakyah pihak tertentu yang menggunakan pelbagai kaedah matlamat menghalalkan cara dan saya minta rakyat sentiasa berpegang teguh kepada prinsip asas kesederhanaan, kebijaksanaan dan kewarasan, dan bukan berlandaskan emosi," katanya ketika berucap pada majlis penyampaian bantuan kepada 70 orang penduduk di sini, semalam.

Beliau turut mengingatkan rakyat supaya memberikan mandat besar kepada kerajaan Barisan Nasional (BN) pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak bagi memastikan agenda pelbagai transformasi yang dirancang dan sedang dilaksanakan dapat dinikmati oleh seluruh rakyat berbilang kaum di negara ini.

"Kestabilan, keamanan dan perpaduan rakyat ialah kunci kejayaan negara. Hakikatnya selama ini itulah hadiah yang tidak ternilai yang diberikan kerajaan BN kepada rakyat yang telah menjadikan Malaysia makmur dan berada sentiasa di hadapan dalam kalangan negara baru merdeka," katanya.
- BERNAMA

No comments:

Post a Comment