My Add

Saturday 9 March 2013

Rakyat Sabah, masyarakat Suluk kukuh perpaduan

SANDAKAN, SABTU, 09 Mac, 2013: Rakyat Sabah khususnya masyarakat Suluk harus mengukuhkan perpaduan dan bersatu hati untuk menangani masalah pencerobohan kumpulan pengganas yang berkubu di Kampung Tanduo, Lahad Datu dan Semporna.

Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Aman berkata menerusi perpaduan yang kuat dan mantap ia dapat menangani segala masalah terutama krisis pencerobohan pengganas itu.

"Seluruh masyarakat harus memberi kerjasama dan kita mesti taat setia kepada kerajaan Barisan Nasional (BN) selain memastikan orang yang kita rasa ganjil atau baru datang di kawasan (kampung), buat laporan kepada pihak keselamatan berkaitan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas mengadakan pertemuan kira-kira dua jam bersama pemimpi dan persatuan masyarakat Suluk Batu Sapi dan Libaran di kediaman rasmi ketua menteri di Sri Libaran, di sini hari ini.

Musa yang juga Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan Negeri berkata, jaminan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang akan membentuk Kawasan Keselamatan Khas (KKK) di perairan pantai timur Sabah dapat meningkatkan keselamatan dan mengembalikan keamanan di Sabah.

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Suluk Bersatu Sabah cawangan Sandakan, Jamal Ali berkata, persatuan yang mempunyai lebih 300 anggota berdaftar itu tetap dengan pendirian untuk tidak bersekongkol dengan mana-mana pihak bagi menjamin keamanan di negeri ini dikekalkan.

"Saya ingin membantah mana-mana pihak yang menggangu keamanan di negeri ini termasuk Tian Chua (Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat) tidak dibenarkan memasuki Sabah. Ini bukan sandiwara atau perbuatan UMNO," katanya.

Ketua Masyarakat Suluk Kampung Bahagia, Sharip Shafdan berkata, penduduk kampung yang diwakilinya menghargai komitmen kerajaan negeri di bawah Musa yang telah memakmurkan negeri ini.

"Kami masyarakat Tausug ataupun Suluk benar-benar menyokong kerajaan Malaysia. Kami tiada apa-apa masalah, tiada rusuhan dan semua kami sentiasa dengan kerajaan. Keadaan di kawasan di sini terkawal termasuk Kampung Bahagia," katanya.

Sementara itu, ketua Kampung Bahagia, Sharip Hassim berkata, seluruh penduduk akan membantu menjaga keselamatan di kampung bagi memastikan tiada orang luar dari negara jiran yang cuba mengganggu keamanan di kawasan terbabit.

Presiden Kebudayaan Kesenian dan Warisan Suluk Sandakan, Hatta Yunus Sawabi, yang menyerahkan memorandum sokongan tindakan kerajaan membanteras pencerobohan itu kepada Ketua Menteri berkata, masyarakat Suluk sangat bersyukur di atas kepimpinan Najib dan Musa yang membela nasib masyarakat itu sebagai sebahagian daripada rakyat Sabah.

"Mereka (penceroboh) tidak akan memperoleh apa-apa pun daripada pencerobohan ini melainkan kutukan anak-anak dan cucu cicit mereka pada masa akan datang. Ibarat yang dikejar tidak dapat, yang dikendong berciciran," katanya. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment