My Add

Tuesday 19 March 2013

Rekod BN tidak mampu ditandingi pembangkang

Oleh SITI NORLIDA ROSLAN
KUALA LUMPUR, isnin, 18 Mac2013: Rekod Barisan Nasional (BN) yang berjaya menerajui negara dengan baik dan berupaya mengotakan janji kepada rakyat selama lebih 55 tahun tidak mampu ditandingi pakatan pembangkang.

Penganalisis politik yang juga Presiden Pergerakan Keadilan Sedunia (Just), Dr. Chandra Muzaffar berkata, sehubungan itu tiada sebab untuk rakyat bereksperimen dengan memilih pembangkang pada pilihan raya umum nanti.

Jelas beliau, memburukkan lagi keadaan, parti komponen dalam pembangkang sendiri berdepan dengan percanggahan prinsip serta ideologi masing-masing menyebabkan berisiko untuk rakyat meletakkan harapan kepada pakatan itu.

"Sebagai contoh, tindakan DAP yang tidak pernah bersetuju dengan agenda negara Islam yang dibawa oleh Pas dan sikap Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang mendiamkan diri berhubung isu itu membuktikan pembangkang tidak sehaluan.

"Maka dengan ini, realitinya amat sukar bagi pakatan pembangkang untuk membentuk kerajaan kerana jika diteruskan dasar yang berbeza-beza, akhirnya kesan buruk akan hinggap kepada rakyat," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Bekas Timbalan Presiden PKR itu mengulas kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang meminta rakyat meneruskan sokongan kepada BN demi kesinambungan pembangunan negara.

Sementara itu, seorang lagi penganalisis politik, Prof. Madya Datuk Dr. Zainal Abidin Borhan berkata, apa yang dilakukan pembangkang hanyalah menabur janji tetapi tidak melaksanakannya biarpun diberi mandat memerintah di empat negeri.

Menurut beliau, pembangkang perlu sedar pemerintahan mereka di negeri-negeri itu diperoleh setelah landasan dan asas kukuh dibina oleh BN walaupun perkara tersebut tidak pernah diakui pemimpin pakatan tersebut.

"Apa yang pembangkang lakukan ialah tabur janji, memburuk-burukkan dan tidak langsung menyatakan kebaikan yang dilakukan BN. Mana mungkin DAP dapat memerintah Pulau Pinang kalau landasan ke arah itu tidak begitu kukuh?," katanya.

Justeru itu, tegas Pensyarah Akademi Pengajian Bahasa Universiti Malaya (UM) itu, tampuk pemerintahan BN sewajarnya terus diberi kepercayaan oleh rakyat untuk membawa Malaysia muncul negara maju menjelang 2020. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment