My Add

Friday 8 March 2013

Rompak emas RM200,000

 *ANGGOTA polis berpakaian preman memeriksa sebuah kedai emas yang
 dirompak oleh tiga lelaki bersenjatakan parang di jalan Temenggong, Kota
 Bharu, Kelantan, kelmarin.

Oleh MOHD. ZUHARMAN MOHAMMAD
KOTA BHARU 7 Mac - Sekumpulan tiga perompak mengambil masa hanya lima minit untuk melarikan barang kemas bernilai kira-kira RM200,000 dalam rompakan di sebuah kedai emas di Jalan Temenggong dekat sini petang semalam.

Dalam kejadian pukul 4.45 petang itu, kesemua suspek memakai jaket hitam, bertopi keledar serta bersenjatakan parang dan kapak, meluru masuk ke dalam kedai tersebut sebelum memecahkan cermin pameran kedai emas tersebut.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Azham Othman berkata, ketika kejadian, hanya terdapat lima orang pekerja dan tiada pelanggan dalam premis berkenaan.

Menurutnya, selepas mengambil barangan kemas, kesemua suspek melarikan diri dipercayai menggunakan motosikal yang diletakkan di belakang kedai.

"Senjata ditinggalkan di tempat kejadian. Ketiga-tiga suspek berjaya dirakam kamera litar tertutup (CCTV) sebuah kedai berhampiran dan pihak polis kini sedang melakukan siasatan untuk mengenal pasti kesemua mereka," katanya ketika ditemui di tempat kejadian semalam.

Tambah beliau, siasatan pihaknya mendapati CCTV di kedai emas terbabit tidak berfungsi selain tidak dilengkapi dengan pengawal keselamatan.

Katanya, tiada sebarang kecederaan dalam insiden tersebut dan kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment