My Add

Tuesday 26 March 2013

Saman pengamal media bukti halang kebebasan

KUALA LUMPUR, ISNIN, 25 Mac, 2013: Tindakan Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim menyaman media arus perdana dan terbaharu, pemilik blog Papagomo jelas menunjukkan pembangkang tidak memperjuangkan kebebasan media seperti yang dilaungkan selama ini.

Presiden Kelab Wartawan Muda Malaysia (KWMM), Dzulkarnain Taib menyifatkan pakatan pembangkang sekadar mendabik dada kononnya mereka memperjuangkan kebebasan media.

"Jika sebelum ini mereka mendakwa kerajaan tidak mengamalkan kebebasan media, namun yang terjadi adalah sebaliknya.

"Sebenarnya lebih banyak media arus perdana dan penulis blog yang disaman berbanding media milik pembangkang seperti Harakah, Suara Keadilan dan Roket yang ketara memfitnah pemimpin kerajaan," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Semalam, Anwar memfailkan saman terhadap pemilik laman blog, Papagomo yang didakwa menyiarkan perkataan dan imej berunsur fitnah dengan mengaitkan Ketua Pembangkang itu dalam video seks sejenis dengan seorang lelaki.

Walaupun tiada jumlah tuntutan ganti rugi yang dinyatakan dalam saman tersebut, Peguam N. Surendran yang mewakili Anwar memberitahu pemberita, pihaknya menuntut ganti rugi RM100 juta daripada pemilik blog itu yang dinamakan sebagai defendan.

Dzulkarnain turut mengandaikan sekiranya pakatan pembangkang berjaya menawan Putrajaya pada Pilihan Raya Umum Ke-13, masa depan organisasi media negara akan menjadi malap dan gelap berikutan saluran maklumat kepada rakyat tidak dapat disalurkan dengan cara yang berkesan.

"Walaupun secara lisan pakatan pembangkang menjanjikan sesuatu yang menarik kepada pengamal media, secara amalinya ia bertentangan dengan apa yang dijanjikan," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment