My Add

Tuesday 26 March 2013

Sasar lahir lebih ramai TOT

KUALA LUMPUR, AHAD, 24 Mac, 2013: LKW Agency yang memasarkan produk takaful MAA Takaful Bhd. (MAA Takaful) menyasarkan melahirkan lebih ramai ejen yang berkaliber.

Syarikat tersebut meletakkan sasaran 30 ejennya mencapai status 'Million dolar round table' (MDRT), dua 'Court of the table' (COT) dan dua 'Top of the table' (TOT) pada tahun ini.

MDRT merupakan status untuk nilai jualan takaful sepanjang tahun melebihi RM450,000 bagi setiap ejen manakala status COT melebihi jualan RM1.4 juta dan status TOT sebanyak RM2.69 juta ke atas.

Ketua Perunding Pengurusan LKW Agency untuk MAA Takaful, Lee Kah Weng berkata, pada tahun lalu, pihaknya berjaya melahirkan 15 ejen berstatus MDRT, tiga COT dan seorang ejen berstatus TOT.

Katanya, nilai premium untuk LKW Agency pada tahun lalu adalah sebanyak RM6.2 juta.

"Sasaran nilai premium pada tahun ini adalah sebanyak RM8 juta,'' katanya kepada Utusan Malaysia ketika ditemui di sini baru-baru ini.

MAA Takaful mempunyai lebih 100 agensi takaful di seluruh negara sejak diperkenalkan pada 2006.

Tambah Kah Weng, pihaknya kini memiliki 500 ejen takaful dengan 10 orang perunding pengurusan takaful.

Katanya, MAA Takaful adalah untuk mereka yang tidak mempunyai apa-apa sebagai simpanan untuk disandarkan pada masa hadapan.

Malah, jelasnya, banyak produk takaful yang ditawarkan MAA Takaful pada waktu ini merupakan produk inovatif yang membantu masyarakat untuk mengagihkan dan mengembangkan kekayaan masing-masing.

Sementara itu, Perunding Pengurusan LKW Agency untuk MAA Takaful, Esther Lam berkata, beliau telah dua kali mendapat status TOT.

Katanya, beliau memulakan karier sebagai perunding pengurusan takaful selepas 22 tahun menyertai syarikat jualan langsung (MLM) ketika berusia 20 tahun.

"Saya mendapati, produk Islam iaitu takaful mempunyai masa hadapan yang cerah selain ciri-cirinya amat baik.

"Setakat ini, saya berjaya meyakinkan komuniti Cina untuk melanggan produk takaful di bawah MAA Takaful,'' ujarnya.

Rakan sejawatnya, Patricia Tan pula berkata, memenangi anugerah hasil daripada kerja keras merupakan satu tepuasan kepada dirinya.

Oleh sebab itu, katanya, beliau telah lima kali berjaya mendapat gelaran dan status jualan TOT.

"Saya suka menunjukkan keputusan jualan yang cemerlang untuk membuktikan keupayaan diri sendiri,'' tegasnya.

Perunding Eksekutif Fahmi Gemilang Consultancy, Nurani Mohd. Ayub berkata, penyertaan beliau di dalam MAA Takaful pada Julai 2011 ternyata membuahkan hasil apabila berjaya mendapat status TOT pada tahun lalu.

"Pada asalnya saya hanya menjadi pemegang polisi MAA Takaful. Selepas itu, saya berminat untuk turut sama menjadi ejen takaful dan bekerja keras sehingga tahun kedua berturut-turut mendapat status jualan TOT,'' katanya.

Menurut Nurani, golongan pelanggannya adalah di kalangan masyarakat Islam.

Selain Patricia dan Nurani, Ketua Perunding Pengurusan MAA Takaful, Mohd Hamzavi Md. Zain dan Mohd. Anuar Nordin turut menerima anugerah TOT bagi pencapaian sepanjang tahun lalu. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment