My Add

Wednesday 20 March 2013

Sasaran GTP/ETP mungkin dicapai lebih awal - Muhyiddin

KUALA LUMPUR, RABU, 20 Mac, 2013 Program Transformasi Negara (GTP) dan Program Transformasi Ekonomi (ETP) 2.0 mungkin boleh dicapai lebih awal dari tempoh masa yang ditentukan, iaitu sebelum 2020, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Timbalan Perdana Menteri berkata ini berikutan prestasi laporan tahunan GTP dan ETP yang memberangsangkan.

"Panel-panel antarabangsa yang melihat trend (laporan itu) yang begitu meningkat tinggi daripada apa yang kita jangkakan. Lebih-lebih lagi dari segi pendapatan per kapita kita yang ditunjukkan.

"...dan ini mungkin boleh dicapai lebih awal dari tahun 2020. Mungkin tahun 2018, jadi bermakna ini adalah sesuatu yang mungkin boleh tercapai dengan syarat kadar pertumbuhan yang kita nikmati pada hari ini berkekalan," katanya kepada pemberita selepas program pelancaran laporan tahunan GTP oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak di Auditorium Perdana, Angkasapuri di sini malam tadi.

Muhyiddin berkata ia juga boleh dicapai sekiranya negara masih berada dalam keadaan yang baik dengan nilai pelaburan yang meningkat serta melalui inisiatif yang berkesan.

Mengenai Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) yang akan diberi setiap tahun, Muhyiddin berkata bantuan itu merupakan inisiatif paling utama kerajaan dalam memastikan rakyat mendapat manfaat.

"BR1M yang akan diberi setiap tahun mulai 2014 kalau sekiranya BN (Barisan Nasional) terus diberi kepercayaan. Kerajaan memang akan menunaikan janji, dan itu adalah janji yang telah disebutkan oleh Perdana Menteri," katanya.

Justeru itu, beliau meminta rakyat supaya menumpukan usaha dan sokongan terhadap kerajaan sedia ada bagi memastikan pertumbuhan ekonomi bertambah tinggi, selain kerajaan dapat menyediakan lagi pelbagai bentuk bantuan.

Ditanya mengenai kemungkinan kadar BR1M akan dinaikkan, beliau berkata ia terpulang kepada situasi keadaan ekonomi dan hasil pendapatan negara pada masa akan datang. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment