My Add

Sunday 24 March 2013

Sekumpulan lelaki serang, bunuh 4 tahanan

YOGYAKARTA, SABTU, 23 Mac, 2013: Sekumpulan lelaki bersenjata menyerang sebuah penjara di Pulau Jawa, hari ini dan membunuh empat tahanan yang menghadapi pertuduhan membunuh seorang askar unit khas Indonesia.

Ketua Polis, Brigadier Jeneral Sabar Rahardjo berkata, seramai 17 penyerang bertopeng yang dipercayai marah terhadap pembunuhan seorang tentera elit Indonesia atau Kopassus, memecah masuk penjara sebelum membunuh empat tahanan terbabit.

Katanya, kumpulan penyerang itu turut menyeksa beberapa pengawal penjara dan memaksa mereka membuka pintu sel tahanan dalam kejadian yang berlaku tengah malam tadi.

Jelasnya, empat tahanan tersebut dibawa keluar dari sel mereka sebelum ditembak mati menggunakan senjata automatik.

Kemudian, kumpulan penyerang itu memusnahkan kamera pemantauan sebelum melarikan diri.

"Kumpulan terlibat dipercayai kumpulan yang profesional kerana mereka melakukan serangan dan pembunuhan tersebut hanya dalam tempoh lima minit.

"Dua pengawal penjara turut dilaporkan cedera dalam serangan terbabit," jelasnya.

Rahardjo berkata, serangan semalam dipercayai berpunca akibat pembunuhan seorang tentera elit Kopassus di sebuah kafe di Yogyakarta pada Selasa lalu.

Empat suspek telah ditahan polis beberapa jam kemudian dan tiga lagi dipercayai masih bebas.

Pihak polis dan penyiasat tentera masih mengumpulkan bukti di lokasi kejadian dan beberapa saksi sedang disiasat.

Dalam pada itu, Penyelaras Menteri Hal Ehwal Politik, Undang-Undang dan Keselamatan, Djoko Suyanto menggesa agar pihak yang bertanggungjawab dalam serangan berkenaan ditangkap dengan segera dan dihukum. - AP/UTUSAN

No comments:

Post a Comment