My Add

Wednesday 13 March 2013

Setiap pilihan raya umum perlu ikut peruntukan Perlembagaan: Najib



KUALA LUMPUR, SELASA, 12 Mac, 2013: Datuk Seri Najib Razak menegaskan, setiap pilihan raya umum yang hendak diadakan perlu mengikut peruntukan dan konteks yang dibenarkan oleh Perlembagaan negara.

Sehubungan itu, beliau berkata sebelum memanggil pilihan raya umum ke-13 (PRU-13), beliau mahu agenda transformasi negara yang diperkenalkannya sejak mengambil alih pentadbiran sebagai Perdana Menteri pada 2009, berjaya dan dinikmati rakyat.
“Saya juga sedang menunggu (pilihan raya) (sambil ketawa)... baiklah, apabila kita mengadakan pilihan raya umum, pertama sekali kita kena ikut peruntukan dalam Perlembagaan, itu memang jelas, dan kita akan buat mengikut konteks apa yang dibenarkan Perlembagaan.

“Tapi lebih penting apabila saya mengambil alih pentadbiran pada 2009, saya memperkenalkan beberapa perubahan untuk negara. Pada asasnya kita menggelarnya agenda transformasi negara.

“Kita bersedia untuk melakukan transformasi itu kerana kita ingin mencapai matlamat Wawasan 2020 dan kita tahu untuk membawa Malaysia ke tahap itu adalah satu yang mencabar,” katanya pada program Perbualan Bersama PM di TV3 anjuran akhbar New Straits Times (NST) di Sri Pentas, sebentar tadi.

Beliau menjawab soalan daripada hos program berkenaan, Hamdan Ahmir mengenai persediaan mengadakan pilihan raya umum yang lama ditunggu-tunggu rakyat Malaysia.

Kepada soalan bahawa beliau boleh memanggil pilihan raya umum sebaik menjadi Perdana Menteri ketika itu, Najib berkata: “ Ya...tetapi saya ingin menemui rakyat dan menunjukkan kepada mereka bahawa agenda transformasi itu ternyata berhasil dan terdapat kemajuan yang sebenarnya.

“Perubahan sebenar memang berlaku dan kita melaksanakan apa yang dijanjikan dan rakyat boleh melihat sendiri dan merasai hasilnya.

“Justeru, saya memerlukan masa kerana anda pun tahu apabila kita merancang sesuatu, perancangan dan pelaksanaannya memerlukan masa. Alhamdulillah, saya gembira hasilnya adalah positif dan pelbagai perangkaan makro menunjukkan kita dapat mencapai lebih daripada apa yang dijangkakan dalam tempoh empat tahun,” katanya.

Perdana Menteri mengambil contoh kejayaan dasar transformasi apabila , ekonomi global amat lemah dan tidak menentu tetapi Malaysia mampu melonjakkan pertumbuhan.

“Dalam erti kata lain kita dapat menongkah arus. Lihat saja negara zon Euro, ekonomi di sana menguncup, lihat Amerika Syarikat, mereka bercakap mengenai pertumbuhan satu atau dua peratus.

“Namun Malaysia pada suku akhir tahun lalu mencapai pertumbuhan 6.4 peratus dan saya boleh menyatakan statistik seumpama itu yang menunjukkan bahawa kita berjaya membina ekonomi yang amat berdaya tahan.

“Dari segi manfaat kepada rakyat, dalam tempoh tiga tahun dari 2009 hingga penghujung 2011, pendapatan kasar nasional (GNI) perkapita kita tumbuh daripada AS$6,670 (RM2,223) kepada AS$9,970 (RM3,323) iaitu kira-kira 49 peratus. Tiada satu pun negara di dunia yang mencapai tahap berkenaan.

“Oleh itu, apabila kita menghadapi pilihan raya umum untuk memperoleh mandat baru daripada rakyat, kita mara dengan rekod yang benar-benar kukuh dan kita boleh tunjukkan kepada rakyat bahawa kita sudah benar-benar menunaikannya kepada rakyat.,” katanya. - BH

No comments:

Post a Comment