My Add

Friday 22 March 2013

Shazryl Eskay ditawar wang

Oleh HUSSAINI AMRAN
KUALA LUMPUR, KHAMIS, 21 Mac, 2013: Ahli perniagaan, Datuk Shazryl Eskay Abdullah, salah seorang daripada 'Trio Datuk T' yang mendedahkan rakaman video seks dikaitkan dengan pemimpin pembangkang didakwa diekori dan dipujuk dengan sejumlah wang oleh pihak tertentu untuk mengubah pendirian berhubung pendedahan tersebut.

Tan Sri Abdul Rahim Thamby Chik mendakwa, Shazryl Eskay ditawarkan sejumlah wang tertentu sebagai ganjaran untuk menandatangani akuan bersumpah yang disediakan pihak terbabit.

Beliau yang juga salah seorang daripada 'Trio Datuk T' itu memberitahu, Shazryl Eskay diekori dan dipujuk individu tidak dikenali sejak lebih sebulan lalu.

"Saya telah diberitahu oleh Shazryl Eskay jika beliau bersetuju, pihak terbabit akan memberi ganjaran wang dengan jumlah yang ditentukan sendiri oleh beliau,'' katanya dalam sidang akhbar di Bangunan Ibu Pejabat Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) di sini hari ini.

Difahamkan, Shazryl Eskay sepatutnya menyertai sidang akhbar itu tetapi beliau membatalkan kehadirannya atas faktor keselamatan.

Utusan Malaysia cuba mendapatkan pengesahan Shazryl Eskay tentang dakwaan itu melalui panggilan telefon dan khidmat pesanan ringkas (SMS) namun tidak dijawab.

Pendedahan video seks yang dikaitkan dengan seorang pemimpin parti pembangkang dipercayai dengan seorang pelacur dari China itu dibuat 'Trio Datuk T' pada 21 Mac 2011 di Hotel Carcosa Seri Negara di sini.

Shazryl Eskay turut membuat sumpah laknat di Masjid Amrul Al-as, Bandar Baru Sentul di sini pada 29 April 2011 bagi membuktikan pendedahan tersebut adalah benar.

Menurut Abdul Rahim, setakat ini, beliau dan seorang lagi 'Trio Datuk T' iaitu Bendahari Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Datuk Shuib Lazim masih belum diekori atau dihubungi mana-mana pihak.

''Oleh itu, saya ingin menasihatkan pihak-pihak terbabit supaya tidak membuang masa. Pengorbanan dan perjuangan kami selama ini bukan boleh dijual beli,'' ujarnya.

Beliau menegaskan, 'Trio Datuk T' bukan seperti individu-individu tertentu yang telah mengubah pendirian mereka sambil menyifatkan harga diri mereka yang membuat 'pusingan U' itu tidak diiktiraf masyarakat.

''Pendedahan tentang usaha intensif pihak terbabit memujuk Shazryl Eskay perlu dibuat kerana dipercayai ada persamaan dengan tindakan kontroversi beberapa individu yang mengubah pendirian dalam kes-kes melibatkan Anwar baru-baru ini,'' jelasnya.

Ketika ditanya sama ada taktik serupa digunakan untuk memujuk Azlan Mohd. Lazim, iaitu bapa Mohd. Saiful Bukhari untuk mengubah pendirian dalam kes liwat melibatkan anaknya dan Anwar, kata Abdul Rahim, beliau tidak tahu tentang perkara itu dan menyerahkan kepada rakyat untuk memikirkannya secara rasional dan intelektual.

Beliau turut mengulangi kenyataan yang pernah dibuat 'Trio Datuk T' dua tahun lalu bahawa pemimpin pembangkang itu ialah individu yang terlibat dalam rakaman video seks dengan seorang pelacur dipercayai warga China.

Sementara itu, Abdul Rahim meminta Yuktes Vijay iaitu bekas pembantu peguam bela Anwar dalam kes liwat melibatkan Mohd. Saiful mendedahkan siapakah individu bergelar 'Datuk' yang membiayai kos guaman kes tersebut.

"Perbicaraan kes itu pasti melibatkan kos yang tinggi berikutan tempohnya yang agak panjang dan menggunakan khidmat pakar-pakar dari luar negara,'' ujarnya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment