My Add

Tuesday 19 March 2013

Siasat ahli majlis seleweng peruntukan untuk tujuan politik

SUNGAI PETANI, ISNIN, 18 Mac, 2013: Kerajaan negeri Kedah diminta menyiasat tindakan Ahli Majlis Perbandaran Sungai Petani Kedah (MPSPK) yang didakwa melakukan penyelewengan dengan menggunakan peruntukan pembangunan disalurkan kepada mereka untuk tujuan politik.

Pemimpin Parti Kesejahteraan Insan Tanah Air (KITA) Kedah, Zamil Ibrahim berkata, berdasarkan maklumat diterima, terdapat dalam kalangan ahli majlis terbabit menggunakan peruntukan yang asalnya disalurkan di kawasan masing-masing untuk melaksanakan projek di tempat lain.

Beliau berkata, setiap ahli majlis diberikan kawasan jagaan masing-masing dengan peruntukan sebanyak RM10,000 untuk melaksanakan projek.

"Bagaimanapun, ada dalam kalangan ahli majlis didapati menggunakan duit yang disalurkan ke kawasannya itu untuk membuat projek di luar kawasan jagaannya.

"Tindakan ini bukan sahaja merupakan perbuatan pecah amanah tetapi merugikan penduduk asal di kawasan jagaan ahli majlis terlibat,’’ katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Zamil berkata, seramai 17 ahli majlis telah dilantik untuk menjaga 10 zon meliputi keseluruhan Sungai Petani dan Gurun.

"Kebanyakan mereka dilantik ini mewakili Parti Keadilan Rakyat (PKR), DAP dan Pas,'' katanya.

Beliau mendakwa, perbuatan pecah amanah seperti itu wujud sejak akhir-akhir ini ekoran ada dalam kalangan ahli majlis disebut-sebut menjadi calon mewakili parti bertanding di Dewan Undangan Negeri (DUN).

"Ahli majlis berkenaan sanggup menggunakan peruntukan dari kawasan asal untuk meraih sokongan memandangkan dia akan menjadi calon dalam pilihan raya nanti.

"Tindakan ini turut menimbulkan kesulitan dalam kalangan ahli majlis sendiri kerana tak dapat menjawab rungutan rakyat apabila ditanya,'' katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment