My Add

Tuesday 19 March 2013


Sindiket curi diesel bersubsidi berjaya ditumpaskan

SHAH ALAM, SELASA, 19 Mac, 2013: Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan negeri menumpaskan sindiket mencuri diesel bersubsidi yang beroperasi sejak enam bulan lalu dan meraih keuntungan sehingga RM1 juta.

Pengarah Penguat Kuasanya, Othman Nawang berkata, dalam serbuan malam tadi, pihaknya menyelamatkan kira-kira 20,000 liter diesel subsidi daripada dijual sindiket itu yang beroperasi di sebuah gudang di Bandar Baru Bukit Raja, di sini.

"Bertindak hasil maklumat awam, operasi yang bermula pukul 10.30 malam itu berjaya merampas 47 tangki palet yang mana 17 daripadanya berisi kira-kira 100 liter penuh diesel setiap satunya serta 3,000 liter di dalam tangki skid.

"Modus operandi sindiket itu adalah menggunakan lori untuk mengisi diesel di stesen-stesen minyak di sekitar Klang sebelum memindahkannya ke tangki atau kontena yang disimpan di gudang itu.

"Kita jangkakan sindiket ini mampu mengumpul kira-kira 12,000 liter hingga 20,000 liter sehari ke gudang itu sebelum dijual kepada pihak industri dan membuat keuntungan kira-kira RM200,000 sebulan," katanya kepada pemberita selepas mengetuai serbuan yang turut disertai enam anggotanya.

Othman berkata, dua pekerja gudang itu dipercayai warga asing dan tempatan itu berjaya melarikan diri selepas menyedari kehadiran pihak berkuasa tanpa membawa dokumen pengenalan diri.

Katanya lagi, pihaknya percaya sindiket itu menjual diesel kepada pihak industri pada harga lebih murah daripada harga pasaran.

"Bagi mengelak kegiatan itu dikesan pihak berkuasa, mereka tidak menyimpan bekalan diesel tersebut dalam tempoh yang lama tetapi segera menjualnya.

"Kes ini disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 sebelum tindakan selanjutnya diambil ke atas pemilik gudang berkenaan," jelasnya lagi.

Dengan tertumpasnya sindiket ini, Othman berkata, pihaknya percaya KPDNKK negeri berjaya menghasilkan 19 kes berkaitan penyelewengan bahan bersubsidi iaitu diesel dan Gas Petroleum Cecair (LPG). - UTUSAN

No comments:

Post a Comment