My Add

Tuesday 5 March 2013

Soal selidik 2 universiti dapati majoriti belia Melaka sokong PM

ALOR GAJAH, ISNIN, 04 Mac, 2013: Satu kaji selidik yang dilakukan dua buah universiti dalam kalangan 2,700 belia di Melaka mendapati majoriti mereka menyokong dan menyetujui keberkesanan kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Kaji selidik Universiti Teknologi Mara (UiTM) Melaka dan Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) itu melibatkan belia berumur 21 hingga 40 tahun daripada pelbagai profesion di Melaka Tengah, Jasin dan Alor Gajah.

Penyelidik UiTM, Prof. Madya Dr. Roaimah Omar berkata, kaji selidik itu bertujuan menentukan tanggapan pengundi muda terhadap kepimpinan perdana menteri dan Ketua Menteri Melaka dalam aspek program yang dilaksanakan di peringkat negara dan negeri.

Respons daripada pengundi muda berdasarkan kaum, tidak banyak berbeza iaitu belia Melayu memberikan sokongan paling tinggi 84.5 peratus, India 83 peratus dan Cina 81.5 peratus, katanya pada sidang akhbar di UTeM di sini hari ini.

"Pandangan positif golongan berkenaan mungkin disebabkan pelaksanaan serta peruntukan untuk golongan muda dalam Bajet 2013," katanya sambil memberikan contoh Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) (turut melibatkan bantuan sekali bayar RM250 untuk orang bujang), Kedai Rakyat 1Malaysia serta hubungan perdana menteri dengan mereka melalui media baharu.

Ciri kepimpinan perdana menteri yang diambil kira ialah keupayaan, kemahiran, tingkah laku yang positif dan hubungan pemimpin/pengikut yang baik.

Dr. Roaimah berkata, kajian itu turut menunjukkan sokongan golongan belia terhadap kepimpinan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd Ali Rustam dan pembangunan negeri Melaka.

Ciri pembangunan di Melaka yang disukai mereka termasuk bandar raya bersih, imej yang baik, stail pentadbiran cemerlang, peluang pekerjaan, destinasi popular dan selamat.

Katanya, kaji selidik itu mendapati responden menilai secara positif kepimpinan Najib dan Mohd. Ali sebagai pemimpin yang komited dan bersungguh-sungguh dalam membantu setiap lapisan masyarakat tanpa mengira agama, bangsa dan pegangan politik.

Turut hadir pada sidang akhbar itu ialah Rektor UiTM Melaka, Prof. Madya Dr. Mohd. Adnan Hashim dan Pensyarah UTeM, Prof. Madya Dr. Izaidin Abdul Majid - BERNAMA

No comments:

Post a Comment