My Add

Monday 4 March 2013

SPR akan berjumpa kesemua parti politik  

KUALA LUMPUR, AHAD, 03 Mac, 2013: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan bertemu dengan semua pemimpin parti politik bagi memberi penerangan terakhir sebelum Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) diadakan.

Timbalan Pengerusi SPR, Datuk Wira Wan Ahmad Wan Omar, berkata perjumpaan itu yang akan diadakan dalam masa terdekat, antara lain adalah untuk memberi penerangan berkaitan proses perjalanan pilihan raya umum, termasuk proses pengundian.

"Sebelum ini kami telah pun berjumpa dan memberi penerangan, termasuk sesi soal jawab, bersama mereka di bangunan Parlimen dan juga di Putrajaya pada tahun lalu.

"Kami juga sudah buat beberapa sesi penerangan tentang undang-undang berkaitan pilihan raya umum dan simulasi kepada semua parti mengenai penggunaan dakwat kekal di seluruh negara," katanya kepada BERNAMA.

Beliau bagaimanapun tidak mendedahkan secara lebih terperinci butiran penjelasan dan pertemuan itu.

Dalam pada itu, Wan Ahmad mengingatkan kesemua pihak supaya tidak mengganggu proses pengundian seperti membuat kecoh dan membuat kacau kerana mereka akan berdepan dengan tindakan daripada SPR.

Beliau berkata, mengikut Akta Pilihan Raya seseorang yang mengganggu proses pengundian di tempat mengundi boleh dihukum setahun penjara atau denda RM1,000 atau kedua-duanya jika disabit kesalahan. 

"Kita tidak mahu kekecohan kerana ia akan menyebabkan proses pengundian terganggu. Harus diingat, ramai lagi yang beratur dan menunggu giliran untuk mengundi," katanya.

Beliau bagaimanapun tidak mendedahkan jumlah kes yang pernah diambil tindakan sebelum ini.

Wan Ahmad berkata, jika terdapat kekecohan, Ketua Tempat Mengundi akan menangani masalah itu dengan cara baik supaya pengundi dapat mengundi dan keluar daripada bilik mengundi. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment