My Add

Wednesday 13 March 2013

SPR yakin pilihan raya serentak

KOTA KINABALU, SELASA, 12 Mac, 2013: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yakin Pilihan Raya Umum Ke-13 akan diadakan secara serentak di semua Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) termasuk di Lahad Datu dan Semporna yang terbabit dengan insiden pencerobohan pengganas Sulu.

Pengerusi SPR, Tan Sri Abd. Aziz Mohd. Yusof (gambar) berkata, isu pilihan raya umum di Lahad Datu dan Semporna perlu ditangguhkan tidak sepatutnya timbul kerana keadaan semasa di daerah itu khususnya di Kampung Tanduo bertambah baik.

"Tidak akan berlaku seperti itu (penangguhan). Keadaan bertambah damai. Sekolah dibuka dan perniagaan mula beroperasi. Kita yakin, sehingga bubar kelak, keadaan di kedua-dua tempat akan bertambah baik.

"Sehubungan itu, saya tegaskan tiada isu penangguhan Pilihan Raya Umum Ke-13 di Lahad Datu kerana anggota keselamatan kita berjaya mengawal situasi di sana," katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas menyampaikan taklimat Susulan Pegawai Pengurus, Penolong Pegawai Pengurus dan Pasukan Penguat Kuasa Kempen Pilihan Raya (PP-KPR) Bagi Persiapan PRU-13 Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan di sini hari ini.

Abd. Aziz berkata, sehingga Disember tahun lalu, jumlah pengundi berdaftar di Sabah adalah sebanyak 982,644 orang manakala sebanyak 24,497 orang di Labuan dengan masing-masing sebanyak 706 dan 17 buah pusat mengundi.

Katanya, sebanyak 86 buah pusat mengundi di Sabah akan menggunakan perkhidmatan pengangkutan helikopter untuk proses penghantaran dan pengambilan kertas undi manakala 55 buah pusat mengundi menggunakan bot.

"Kos Pilihan Raya Umum Ke-13 bagi negeri Sabah pula berjumlah RM50 juta," katanya.

Mengulas kempen pilihan raya umum kali ini, beliau mengingatkan parti-parti politik tidak menyentuh mengenai isu sensitif khususnya kejadian di Lahad Datu semasa berkempen.

Katanya, calon-calon dan penyokong parti politik perlu bertanggungjawab serta tidak mengikut perasaan semasa berkempen kerana dikhuatiri tindakan dan sikap tidak sensitif itu bakal mengundang kemarahan pihak tertentu.

"Peringatan ini adalah untuk semua parti-parti politik termasuk di Semenanjung. Berhati-hati semasa berkempen. Jangan bangkitkan sentimen yang akan menimbulkan kemarahan. Yang paling kita tidak mahu ialah ada orang akan ambil kesempatan.

"Kalau semua mengikut arahan, pilihan raya umum akan berjalan lancar, aman dan damai serta harmoni. Saya menyeru pengundi jangan takut untuk keluar mengundi. Jangan dengar khabar angin. Keselamatan orang awam sentiasa menjadi keutamaan pihak keselamatan," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment