My Add

Tuesday 26 March 2013

Sukan antarabangsa jadikan Malaysia destinasi tersohor - Muhyiddin

KUALA LUMPUR, AHAD, 24 Mac, 2013: Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, penganjuran sukan bertaraf antarabangsa mampu mengangkat Malaysia sebagai destinasi tersohor dalam sektor pelancongan sukan.

Menurut Timbalan Perdana Menteri, pelbagai sektor lain akan turut mendapat manfaat menerusi perkembangan positif itu termasuk sektor perkhidmatan, perdagangan dan peruncitan.

"Dalam acara antarabangsa seperti Kejohanan Golf Terbuka Malaysia Maybank, peluang amat terbuka luas untuk Malaysia menunjukkan kepada dunia bahawa kita mempunyai kemudahan, kelengkapan dan kepakaran bagi menjayakan kejohanan bertaraf dunia," katanya.

Beliau berucap dalam majlis penyampaian hadiah kejohanan tersebut di Kuala Lumpur Golf & Country Club (KLGCC), Bukit Kiara, di sini hari ini.

Yang turut hadir, Pengerusi Maybank, Tan Sri Megat Zaharuddin Megat Mohd. Nor dan Presiden Persatuan Golf Malaysia (MGA), Tan Sri Mohd. Anwar Mohd. Nor.

Dalam majlis itu, Muhyiddin turut mengucapkan tahniah kepada pemain golf dari Thailand, Kiradech Aphibarnrat yang menjuarai kejohanan tersebut serta pemain muda Malaysia, Gavin Kyle Green yang berjaya menguasai kategori amatur.

Menurut Muhyiddin, beliau berharap inisiatif yang dilaksanakan MGA bersama Maybank itu dapat mengasah bakat lebih banyak anak tempatan untuk bersaing di peringkat antarabangsa seterusnya mengharumkan nama negara.

Sementara itu, menurut Mohd. Anwar, sebanyak tujuh sekolah merangkumi empat sekolah rendah dan tiga sekolah menengah di Lembah Klang dipilih untuk dilaksanakan projek perintis bagi melatih bakat muda dalam sukan golf di negara ini.

Katanya, projek melibatkan dana kerajaan berjumlah RM2 juta itu memberi peluang kepada pelajar yang berminat dalam sukan tersebut tanpa mengira latar belakang keluarga.

"Menerusi usaha ini, kita tidak mahu orang ramai beranggapan sukan golf ini hanya untuk golongan kaya sahaja," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment