My Add

Tuesday 12 March 2013

Suki terkilan dengan tindakan bekas pihak pengurusan

Oleh GARRET DAWUM
KUALA LUMPUR, ISNIN, 11 Mac, 2013: Penyanyi Low Sook Yee, 24, atau lebih dikenali sebagai Suki terkilan dengan tindakan bekas pihak pengurusannya, Galaxy Music Sdn. Bhd., yang sehingga kini masih berdiam diri mengenai kes tuntutan wang RM417,575.17.

Juara musim pertama rancangan realiti TV One in A Million (OIAM) itu, berkata, keengganan atau kegagalan syarikat tersebut membayar jumlah wang tersebut telah mencabar kesabarannya sehingga memohon pihak mahkamah mengeluarkan waran tangkap terhadap pengarah syarikat itu, Chan Tak Wai dan Wong Yoke May, Jumaat lalu.

"Walaupun saya sudah mengambil tindakan mahkamah dan saya memenangi kes tuntutan itu, namun mereka berdua (Tak Wai dan Yoke May) masih berdegil dan sampai sekarang tidak memberi respons.

"Mereka juga sudah dua kali gagal menghadirkan diri ke mahkamah untuk perbicaraan kes. Saya boleh anggap ini adalah satu tindakan membuli terhadap saya," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia, hari ini.

Menurut Suki, dia amat berharap kes itu dapat diselesaikan segera kerana dia berhak menuntut keadilan.

Dalam pada itu, pihak Galaxy sebelum ini telah membuat kenyataan bahawa mereka mampu menerbit, memasarkan serta mengedar album antarabangsa berbahasa Mandarin penyanyi itu untuk pasaran Taiwan, China dan Hong Kong.

Suki juga mendakwa telah membayar RM367,575,17 iaitu sejumlah wang tunai selepas memenangi OIAM kepada Galaxy sebagai balasan terhadap melaksanakan tanggungjawab tersebut.

Selain itu, Suki mendakwa, Galaxy hanya menghasilkan album tempatan yang tidak pernah diedarkan di peringkat antarabangsa sehingga mendorong Suki menandatangani perjanjian pengurusan artis yang mengandungi terma-terma yang berat sebelah dan tidak saksama kepadanya.

Sehubungan itu, mahkamah telah memutuskan Suki layak menerima wang ganti rugi sebanyak RM417,575.17 selepas syarikat tersebut didapati tidak mengikuti perjanjian dalam mempromosikan album tempatan yang diterbitkan.

Kes akan disebut semula pada 15 Mac 2013. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment