My Add

Tuesday 12 March 2013

Sultan Bantilan dakwa tidak terlibat

SHAH ALAM, ISNIN, 11 Mac, 2013: Kesultanan Sulu Darul Islam (SSDI) yang diketuai oleh Sultan Bantilan Muhammad Muizzuddin II Datu Wasik Aranan menegaskan kesultanannya tiada kena mengena dengan insiden keganasan di Sabah.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan oleh Menteri Luar SSDI, Datuk Zakaria Abdullah berkata, SSDI tiada niat mahu menuntut Sabah secara kekerasan, kecuali melalui proses perbincangan yang aman.

Menurutnya, SSDI turut memuji kepimpinan Presiden Filipina, Benigno Aquino III yang menegaskan negara tersebut tidak akan terburu-buru menuntut Sabah berdasarkan fakta sejarah dan kepentingan demi menjaga kestabilan rantau ini.

“Sejak pencerobohan bersenjata ke Sabah yang mengancam nyawa dan harta benda bermula, SSDI berharap insiden ini boleh diselesaikan secara aman bagi mengelak pertumpahan darah berterusan.

“SSDI juga bersedia menjadi orang tengah dalam perbincangan dengan beberapa syarat,” katanya.

Selain itu, Zakaria bertegas SSDI tidak akan bertolak ansur dengan mana-mana perbuatan Tausug yang menggunakan nama, bendera atau logo SSDI secara tidak bertanggungjawab dalam aktiviti haram seperti pencerobohan bersenjata ke Lahad Datu, Sabah tanpa pengetahuan Sultan.

“Sekiranya pendamaian tidak boleh dicapai melalui perbincangan, SSDI menyeru semua pihak yang terlibat mengelakkan insiden orang awam menjadi mangsa dalam apa jua keadaan,” katanya.

Katanya lagi, SSDI menyambut baik segala perbincangan untuk menyelesaikan konflik itu dan mahu semua pihak mengawal keadaan sebaik-baiknya dalam menyelesaikan krisis ini. - Sinar HariAan

No comments:

Post a Comment