My Add

Tuesday 19 March 2013

Sultan Johor sumbang RM100,000 kepada Tabung Kebajikan PDRM

 *TUNKU Abdul Jalil Sultan Ibrahim berkenan menyampaikan replika
 cek untuk tabung kebajikan PDRM yang diwakili KP Johor Datuk Mohd
Mokhtar Mohd Shariff - Foto Bernama

JOHOR BAHRU, ISNIN, 18 Mac, 2013: Sultan Johor, Sultan Ibrahim hari ini menyampaikan sumbangan peribadi kepada Tabung Kebajikan Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk dihulurkan kepada keluarga wira-wira negara yang terkorban dalam serangan pengganas Sulu di Lahad Datu dan Semporna, Sabah.

Cek sumbangan RM100,000 bagi membantu meringankan bebanan keluarga anggota keselamatan itu disampaikan Tunku Laksamana Johor Tunku Abdul Jalil kepada Ketua Polis Johor Datuk Mohd Mokhtar Mohd Shariff dalam satu majlis di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor, di sini.

Bertitah pada majlis itu, Tunku Abdul Jalil menyifatkan ianya merupakan satu tanggungjawab walaupun sumbangan tersebut adalah kecil berbanding pengorbanan yang dicurahkan kesemua wira terbabit dalam mempertahankan kedaulatan negara.

"Mereka (anggota terkorban) adalah perwira-perwira negara dan mereka juga adalah sahabat saya. Justeru, adalah menjadi tanggungjawab untuk membantu keluarga mereka semampu yang saya boleh," titah Tunku Laksamana yang merupakan inspektor polis.

Tunku Abdul Jalil turut mengucapkan takziah kepada semua anggota keluarga atas kehilangan orang yang dikasihi dan meminta seluruh rakyat di negeri ini terus berdoa supaya anggota keselamatan yang sedang bertugas di Sabah mendapat perlindungan daripada Allah S.W.T

Dalam pada itu, Tunku Abdul Jalil turut memaklumkan akan mengurangkan penglibatan dalam tugas perkhidmatan sebagai pegawai polis yang aktif disebabkan tuntutan tugas istana dan kerja amal sejak bergelar Tunku Laksamana pada 22 Nov lepas.

Tunku Abdul Jalil, bagaimanapun berjanji akan terus memberikan sokongan padu dalam apa juga bentuk bantuan sekiranya diperlukan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) terutamanya Unit Tindak Khas.

"Sesungguhnya pengalaman dan latihan yang diberikan kepada saya merupakan sesuatu yang berharga dalam membentuk jati diri. Walaupun saya tidak akan aktif dengan kerja-kerja PDRM, saya tetap akan berhubung dengan rakan-rakan semasa di dalam latihan dan akan sentiasa menganggap mereka sebagai ahli keluarga," titah Tunku Laksamana.

Sementara itu, Mohd Mokhtar dalam ucapannya berkata sumbangan peribadi Sultan Ibrahim itu melambangkan keluhuran budi, keprihatinan tentang keselamatan dan ketenteraman awam serta keikhlasan Sultan yang berjiwa rakyat.

Beliau berkata walaupun wang ringgit tidak dapat mengembalikan perwira yang gugur, namun, pengiktirafan sedemikian menjadi petunjuk bahawa pengorbanan polis dalam melaksanakan misi tidak pernah sia-sia. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment